klik!2

Jumaat, 28 Disember 2012

If You Know What I Mean

Once. 1 VS 27. Defisit 26.

5 Times. 5 VS 135. Defisit 130.

1 Week. 35 VS 945. Defisit 910.

1 Month. 150 VS 4 050. Defisit 3 900.

1 Year. 1 825 VS 49 275. Defisit 47 450.

Hopefully you know what i mean. Cause 27 is very common number for Muslims. I am looser I know, but lets give it a try. Love the Prophet you said, and never take 27. Go home, you are drunk!

Khamis, 27 Disember 2012

"Bapa Perniagaan" . Idolaku.

Salam untuk semua.

Menghampiri penghujung 2012 berbaki 4 hari sahaja lagi. Apa yang dilalui bukanlah penamat cemerlang bagi menutup buku 2012. Tahun yang penuh dengan sejarah yang mengubah haluan hidup. Banyak perkara harus dicapai belum lagi mampu diterjemah. Usia 24 sedikit sebanyak mendatangkan perasaan genting tatkala memikirkan soal masa hadapan. Namun, apa yang pasti adalah eksperimen-eksperimen sepanjang tahun ini bakal melahirkan 2013 yang cemerlang. Aku pahatkan 2013 sebagai tahun bekerja keras dan meneruskan hasil usaha yang sedang dijalankan.

Teringat disaat masih kecil sekitar tahun 1992-1993, aku suka menaiki lori pikap kepunyaan Ayah Di. Mungkin sudah bosan menaiki kereta Abah. Waktu itu, Ayah Di mengusahakan perniagaan batu blok (batu bata diperbuat daripada campuran simen dan pasir) di kampung, Temerloh. Keluarga Atuk juga waktu itu memiliki lombong pasir. Bangsal di rumahnya digunakan sebagai kilang pemprosesan batu-bata secara manual. Tak menang tangan. Timbul segala urat dan ototnya siang malam membancuh dan menuang simen dalam acuan. Namun, masa berlalu. Perniagaan yang semakin rancak akhirnya menemui titik noktah. Seiring dengan kejatuhan itu, perniagaan pasir Atuk juga menerima nasib yang sama. Berakhirlah sebuah legasi gemilang ciptaan Atuk. Episod kesusahan dalam kehidupan ketika itu mula menjengah. Walaupun cuba bangkit dengan membuka sebuah hardware selepas itu, namun usaha Ayah Di masih gagal membuahkan hasil.

Terkenal dengan obsesinya dalam meneroka hutan, Ayah Di kemudian berkelana di Kuantan selama hampir 2 tahun bermula tahun 1995. Hutan belantara bagaikan tempat permainannya. Mengetahui jenis akar kayu serta kesesuaian setiap spesis bagi mengubati penyakit menjadikan dia sebagai usahawan akar kayu pada suatu ketika. Cintanya pada produk-produk hutan akhirnya membawanya mengusahakan tanaman ginseng. Mungkin kesilapan dari segi pemasaran, atau memang bukan rezekinya disitu. Tetapi sekurang-kurangnya dia lakukan apa yang sudah menjadi instinct atau nalurinya. Perniagaannya kali ini juga tidak kekal lama. Walaupun terbukti akar-akar kayunya mampu menyembuhkan beberapa jenis penyakit.

Ayah Di kemudiannya pulang ke kampung di Temerloh bagi mengusahakan ternakan kambing, membuka restoran, dan mengusahakan perniagaan ikan patin. Cukup lengkap pakej untuk menjadi seorang usahawan. Kepelbagaian aktiviti perniagaan mencerminkan keberanian dalam setiap tindakannya. Cintanya terhadap perniagaan tidak pernah padam. Walaupun berkali-kali jatuh bangun dengan perniagaan. 

Paling diingati, kenangan termahal aku dengan Ayah Di pada penghujung 2005.Ketika itu aku baru menamatkan SPM. Kami mengusahakan bersama ternakan ayam kampung secara komersil. Pusingan pertama sebanyak 3000 ekor anak ayam kami ternak. Seawal 7.00 pagi kami bersarapan bersama setiap hari. Nasi goreng dan ikan goreng masakan isterinya menjadi bekalan tenaga kepada kami saban hari. Kemudian bermulalah rutin harian sebagai penternak ayam.

Mengutip dan menanam bangkai-bangkai ayam yang mati. Memenuhkan bekas-bekas air yang berpuluh-puluh jumlahnya. Menyediakan makanan. Semuanya 2 kali sehari. Sampai satu ketika, kami memutuskan untuk menjimatkan kos makanan ayam. Kami menebang pokok rumbia, mencari kulit soya di kilang tempe, memproses batang rumbia menjadi makanan ayam, menggaul makanan tambahan dengan makanan yang dibekalkan oleh Jabatan Pertanian seperti menggaul simen. Semuanya dijalankan bersama. Dari sekecil-kecil anak ayam, sehinggalah 2bulan umurnya, anak ayam hampir terjual. Aku mendapat tawaran ke Kolej Matrikulasi Labuan. Berat hatiku meninggalkan Ayah Di. Kerana tenaganya ketika itu tidak cukup kuat untuk melakukan kerja berseorangan. Akhirnya ternakan ayam tidak dapat diteruskan bagi pusingan kedua disamping masalah-masalah lain.

Sepanjang 2006 sehinggalah penghujung 2010, Ayah Di di kampung membuat pelbagai kerja bagi menampung 8 orang anaknya. Mungkin waktu ini dia terpaksa melupakan perniagaan demi menyara keluarganya. Menoreh getah orang, mengambil upah memasang mozek, bertukang, memelihara lembu dan juga menanam pisang. Itu sebahagian. Selebihnya hanya keluarganya yang tahu. Ibarat duduk dalam kain basahan dari subuh sehingga senja. Bagaimana dia mengemudi sebuah keluarga yang cukup besar, memastikan cukup makan dan pakai semuanya disandarkan kepada keredhaan kepada Allah. Apa yang pasti, dari awal pagi sehingga senja, dia menghiasi suasana kampung yang amat sinonim dengan kehidupannya.

Berundur dari perniagaan bukan bererti mengalah. Rupanya berundur untuk merancang strategi yang lebih baik. Dalam kepayahan, dalam himpitan masalah kewangan, dalam diam-diam juga dia mengatur strategi untuk menjalankan sebuah lagi perniagaan. Kerana dia sedar, tenaganya tidak lagi mampu untuk dikerah untuk kerja-kerja berat di kampung.

Dengan menggunakan apa yang ada,pada tahun 2010 berbekalkan sedikit ihsan dari adik-beradik, dia menjaja ikan di kawasan Temerloh. Diikat tong sebesar 5x3 kaki di belakang motosikal usangnya, diisi penuh dengan ikan dan sayur-sayuran. Rutin bermula seawal jam 2 pagi ketika seisi rumah sedang nyenyak tidur, dia memacu kenderaan pacuan empat roda yang dipinjam daripada adiknya untuk ke pasar borong bagi mendapatkan bekalan ikan. Sekembalinya dari pasar borong yang memakan masa satu jam setengah perjalanan, tanpa rehat dia memenuhkan tong ikannya sebelum menjaja di beberapa kawasan perumahan dan perkampungan.

Kali pertama aku ternampaknya, aku terkejut. Kerana sungguh tidak aku sangka, dia adalah Ayah Di. Awal pagi aku keluar rumah untuk membuang sampah, aku nampak kelibatnya membunyikan hon di sekitar kawasan rumahku. "Ayah Di!!!" jeritku memanggil. Aku bertanya khabar, tetapi tidak sampai hati bertanya bila dia memulakan perniagaan kerana aku sudah lama tidak pulang ke kampung ketika itu. Alhamdulillah, perniagaan barunya mula menapak. Sayu hati mengenangkannya menjaja menggunakan motosikal. Berpanas, berhujan, menebalkan muka ketika awal perniagaan. Namun itulah dia. Cekal. Jiwa sekeras intan. Bersandar hanya kepada Allah. Cabaran demi cabaran. Motosikal rosak, tayar pancit, spring patah akibat lebih muatan, dan pelbagai ujian lagi. Namun ketabahan lebih mengambil tempat di hatinya.

Kesabaran mula membuahkan hasil. Disamping menjaja, dia mengambil keputusan menjual ikan di rumahnya dengan bantuan isterinya. Isterinya yang sebelum ini mengambil upah menjaga bayi juga nekad untuk turut sama berniaga. Bermula dengan kotak-kotak polistrin putih kecil yang menempatkan ikan dan sayur-sayuran, kedainya bertambah maju. Sedikit demi sedikit barang kedai bertambah. Daripada makanan kucing, sehinggalah tiub motor. Pendek kata, semuanya ada. Jerih berpanjangan tidaklah kekal, kini dia mampu mengecap hasil titik peluhnya. Pelanggan semakin ramai. Namun kedainya cuma ringkas. Hanya ditutupi jaring PVC bagi menghalang anjing masuk. Setiap masa tidak putus-putus orang datang. Pinjaman yang dibuat dari TEKUN Nasional juga dihabiskan awal bagi membolehkannya membuat pinjaman yang lebih besar. Dia berhenti menjaja. Menumpukan sepenuh perhatian terhadap kedai runcitnya.

Badannya semakin lemah. Kerap kali dia mengalami pening-pening kepala, sakit urat, juga pernah demam berturutan selama satu minggu. Namun syukur dipanjatkan, dia kini bukan lagi penoreh getah orang, bukan lg tukang yang diupah orang, bukan juga pengembala lembu orang. Dia berdiri di atas kaki sendiri. Memiliki perniagaan yang diusahakan dengan titik peluhnya sendiri.

Aku sifatkan dia sudah berjaya. Walaupun agak lewat dia menemui jalan kejayaan. Membina kedai runcit yang maju dengan mengambil masa hanya kurang dari setahun setengah satu perkara yang menakjubkan. Namun takdir tuhan telah tertulis. Walaupun kali ini perniagaannya tidak jatuh seperti sebelum ini, tetapi tuhan telah mengambil nyawanya. Tanggal 14 Februari 2012 menoktahkan perjuangannya dalam perniagaan. Dia pergi bersama kejayaan gemilang yang ditinggalkan bagi isterinya menyara 8 orang anaknya. Suatu pemergian yang sesekali tidak mampu dilakukan oleh seorang pegawai kerajaan, seorang jurutera kilang, seorang jurutera bangunan, seorang guru, seorang angkasawan sekalipun. Dia meninggalkan sebuah perniagaan yang mampu menyara anak dan isterinya.

Betapa tarikh 14 Februari 2012 mengubah perjalanan hidupku. Adikku yang 3 orang kini menjadi 11. Aku nekad untuk tidak meninggalkan keluarga Allahyarham Ayah Di sehingga tahun 2013. Bagiku, anak-anaknya terlalu kecil untuk mengenal erti kehidupan. Mereka perlukan ayah dan abang. Aku mengambil alih perniagaannya sehingga April 2012. Betapa penatnya menguruskan sebuah kedai runcit. Bukan semudah disangkakan. Tak mengapa, semuanya untuk adik-adik baruku. Bagi mereka, untuk pulih setelah kehilangan ayah bukanlah sehari dua. Pelbagai kisah-kisah dieceritakan semula, memikat burung dengan ayah, memancing dengan ayah, makanan kegemaran ayah, kasut yang ayah beli, semuanya tak dapat aku gantikan. Kerana itu, sebelum mereka pulih, aku harus menamatkan tahun 2012 dengan mereka. Aku membuat keputusan drastik untuk tidak bekerja sepanjang tempoh itu.

Namun, tawaran kursus keusahawanan pada bulan Mei tahun ini mengubah rancanganku. Pada mulanya aku enggan pergi. Tetapi isteri Ayah Di dan Ummi aku sendiri menyuruhku pergi. Masa depan aku lebih penting kata mereka. Sejauh mana aku mampu melakar masa hadapan jika terperuk di kampung. Aku tidak memiliki tekanan untuk diri sendiri, tiada apa yang mahu dikejar. Umur pada ketika itu masih 23. Cuma aku sedar, seiring perjuangan Ayah Di, aku harus meneruskannya. Tetapi dengan skala yang lebih besar. Aku menerima tawaran tersebut dan terjun ke dunia perniagaan.

Suatu ketika sewaktu Ayah Di masih ada, aku pernah menjual nasi lemak bungkus di kedainya. 30 bungkus sehari aku letakkan seawal jam 6.30 pagi. Itu semua aku lakukan sewaktu aku menjalani Latihan Industri di sebuah jabatan kerajaan. Apabila pulang dari pejabat, dalam pukul 5.30 aku akan ke kedainya untuk mengambil bakul nasi lemak. Kadangkala habis terjual, kadangkala hanya sebungkus dua tidak habis dan kadangkala juga hanya separuh terjual. Suatu petang, dia berkata kepadaku " Amer..Kita kalau berniaga, kita tumpukan sepenuh perhatian kita, kita berikan sepenuhnya kepada perniagaan, Insyaallah. Kita akan berjaya". Kata-katanya sehingga kini terngiang-ngiang di telinga. Bagaikan dia menyuruh aku untuk menumpukan perhatian kepada latihan industri dan selepas tamat pengajian, berniagalah semahunya. Aku tidak mampu mentafsir. Tetapi, kata-katanya benar. Dia buktikan apa yang dikatakan.

Kini, walaupun aku tidak dapat memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga arwah, aku tetap harus berbangga meneruskan perjuangan Ayah Di di jalan perniagaan. 2012 yang akan kukenang dalam lipatan sejarah sebagai tahun kehilangan terbesar dalam famili. Seorang bapa saudara yang aku gelarkan "Bapa Perniagaan" dijemput ilahi. Kerana kejayaannya jika diukur dari sudut pengalaman, dia ada segala-galanya. 

Mungkin dia telah tiada, namun semangat juangnya tidak pernah pergi bersamanya. Kerana aku meminjam segala semangat perjuangan itu untuk bekalan aku menempuh dunia perniagaanku sendiri. Setiap kali aku rasa putus asa, aku kenangkan kembali saat-saat sukar dilalui Ayah Di.

Justeru, kedatangan 2013 memberikan seribu erti untukku. Akan kujuang hingga ke titisan. Tiada lagi masa untuk dibiarkan berlalu tanpa diletakkan usaha. Selamat menyambut tahun baru 2013!!

Al-Fatihah untuk pejuang perniagaan idola saya. Ayah Di.

Ayah Di pergi meninggalkan sebuah perniagaan yang maju. Tetapi ketika ini, kedai ini hanya ditutup menggunakan jaring PVC hijau di sebelah kiri gambar. Kini, kedai ini sedikit demi sedikit dibaiki untuk menjamin keselamatan.

Motosikal Ayah Di yang membawa tuah. Mula menjaja ikan dan sayur menggunakan motosikal ini.

Ya Allah, tempatkanlah ayahku dikalangan orang yang beriman. Bahagiakanlah dia disana - Affan,  4 tahun.

Gambar terakhir Ayah Di bersama keluarga.

Survey!