klik!2

Isnin, 15 Oktober 2012

IJAZAH 30 SEN

Assalamualaikum warga blog. Salam blogging.

Alhamdulillah, tamat sudah pengajian di Universiti Malaysia Pahang. Selama 9 semester atau 4 tahun setengah berperang dengan diri sendiri, akhirnya berjaya menerima ijazah secara rasmi pada 13 Oktober lalu.

Tiada pengertian yang lebih luas tentang memerima ijazah selain menggembirakan ibu ayah. Membawa imej seorang graduan tiada istimewanya berbanding dengan mereka yang tidak berpeluang melanjutkan pelajaran. Kehormatan yang diterima oleh para siswazah tidak lagi tinggi seperti dahulukala. Zaman dimana ibu ayah sanggup menggadai tanah, menjual lembu dan mengorbankan barang kemas untuk dilaburkan demi masa depan anak-anak. Berkenduri sekampung mengiringi pemergian anak ke menara gading. Kini, zaman yang lebih mencabar dan wang menjadi ukuran. Berilmu tidak semestinya kaya. Tetapi jika pintar, pasti dan mesti akan lebih menemui keselesaan hidup.

Program Sarjana Muda kejuruteraan Awam yang aku jalani sepanjang 4 tahun menelan belanja keseluruhan RM131,755 yang sebahagiannya RM105,404 ditanggung kerajaan dilihat begitu mahal. Kos tersebut tidak termasuk bunga PTPTN yang terpaksa dibayar, kos makan pakai dan tempat tinggal, kos-kos kehendak hidup dan kos sampingan lain.andai dihitung-hitung secara kasarnya aku boleh katakan aku telah membelanjakan lebih RM150,000 bagi tujuan menerima sijil pengiktirafan. Sekeping sijil yang melayakkan aku digelar seorang jurutera. Jurutera. Jurutera yang indahnya hanya pada nama.

Persoalannya, apakah berbaloi pelaburan kerajaan dan ibu ayahku bagi melayakkan aku menerima sijil ini? Jika ditimbang dari sudut pekerjaan atau karier aku sebagai Jurutera Awam, aku berfikiran bahawa segala ilmu yang aku perolehi selama 4 tahun ini tidak digunakan secara mendalam di tapak binaan. Malah pendatang tanpa izin lebih mahir selok-belok pembinaan apabila telah melalui pengalaman beberapa tahun di tapak bina.

Apakah pelaburan aku sebanyak RM150,000 selama ini hanya untuk menerima ijazah sahaja?? yang nilainya sekeping sijil itu hanya 30sen!!!yaaaa...hanya 30 sen!! Jadi dimanakah rasionalnya kerajaan kita menanggung kos ribuan penuntut IPTA jika ijazah menjadi buruan?

Sebelum melangkah ke alam perniagaan, aku berguru dengan seorang Penganalisis Kegagalan Orang Melayu dalam perniagaan. Beliau yang aku segani juga merupakan seorang tokoh yang teguh berdiri dalam struktur pendidikan negara. Beliau menceritakan betapa pilu dan geram hatinya apabila membaca satu laporan akhbar menceritakan tentang kejayaan seorang anak bukan bumiputra. Ceritanya, individu tersebut berjaya menjadi kaya raya apabila dia mendalami kertas "final year project" seorang anak Melayu. Anak Melayu berkenaan akhirnya tidak mendapat apa-apa hasil daripada kajiannya sendiri di Universiti. Tesis kajian yang sepatutnya dijaga dan didalami akhirnya menjadi hiasan di rak rumah. Sebaliknya, hasil kajiannya dikomersilkan oleh orang lain dan diperdagangkan ke serata dunia.

Sedih hatinya mengamati keseluruhan kisah kejayaan anak bukan Bumiputra itu. Perasaan bercampur marah juga mendalami sudut jiwanya. Bukan marahkan anak bukan Bumiputra, tetapi marahkan kebodohan anak Melayu yang bersengkang mata siang malam hanya untuk lulus final year project atau menghasilkan tesis. Tesis yang sepatutnya menjadi harta atau aset paling mahal di alam Universiti akhirnya dibiarkan begitu sahaja. Melayu hilang killer instinctnya. Kerana tujuan dan matlamat asal melangkah ke menara gading hanyalah demi segulung ijazah. Segulung Ijazah. Ijazah yang kini semua orang tahu nilainya. 30 sen. Tidak lebih dan mungkin kurang.

Aku ketika mendengarkan ceritanya, terasa panas-panas birai telinga. Kerana nyata dan pasti semuanya terkana batang hidung sendiri. Peluru berpandu yang dilancarkannya satu per satu tepat mengenai dahiku. Sementelah aku sendiri tidak tahu lagi sama ada aku masih menyimpan tesisku bertajuk "Lightweight Foamed Concrete Block". Jika ada pun, hanya soft copy. Tembakannya mengena lagi. Kali ini kerana aku tidak serius ketika menulis dan ketika kajian dijalankan. Ini jelas dan nyata kerana keseluruhan tesisku hanya setebal 49 muka surat. Padat dan ringkas kataku kepada supervisor final year project.

Tajuk tesis yang baik dan jika berpeluang mendalami kajian satu atau dua tahap lagi, aku mampu menghasilkan produk konkrit baru yang mungkin memecahkan pasaran tempatan atau dunia. Tapi sudah terlambat. Aku sendiri tidak berapa faham dengan kajianku. Malah tidak pernah berbangga dengan apa yang aku lakukan. Hanya satu tujuan, lulus dan cepat-cepat berambus dari UMP.

Jadi pada dasarnya, pelaburan sebanyak RM150,000 sebenarnya adalah wajar. Tetapi aku sendiri yang tidak memburunya dari awal. Pelaburan yang sebenarnya mampu menjana jutaan ringgit akhirnya dijadikan penyandar untuk hanya mendapatkan kerja sebagai jurutera bergaji RM2,000 sebagai permulaan. Dalam setahun mungkin paling tinggi menerima gaji RM30,000. Nak beli Proton Waja pon tak lepas!!!! Unless kau makan pasir, duduk dalam gua, dan sunting anak dara freeeee~

Kini anda tahu dimana nilainya Ijazah. Bukan prestij pada sijil. Tapi kepakaran dalam pengkhususan itu. Tidak salah makan gaji, tetapi tanamlah cita-cita buka syarikat sendiri. Kerana walau setinggi manapun jawatan anda, percayalah, anda tidak akan menerima apa yang sepatutnya anda dapat. Selagi mana anda berbangga dengan ijazah yang diterima.

Peace. No war;))) kerana ijazah aku pon memang 30sen. So jgn cakap aku poyo. Ni entry untuk pengajaran adik2 semua.

mekaseh family yang hadir.

Survey!