klik!2

Isnin, 23 Januari 2012

Pekak Ton

Dalam kereta. Terdengarkan "Terukir di Bintang" nyanyian Yunalis Zaraai. Memang hebat. Dia makin gila berkarya. Semua karyanya meninggalkan bekas di kalangan masyarakat. Bertapak dengan "Oh Bulan", dia tidak menoleh lagi. Karyanya semakin berani.

Sebagaimana pelukis mencorak lukisan, mungkin begitulah seorang komposer mencipta lagu. Imaginasi mereka mendahului hasil karya. Pelukis sudah mengetahui apa hasil lukisan sebelum pensel menyentuh kertas. Mungkin Yuna sudah membayangkan lagunya tatkala lagu masih belum dimasukkan muzik. Mereka bersandarkan bakat!

Berikan pensel dan kertas kepadaku. Mintalah aku lukiskan seekor kerbau. Mungkin anda akan melihat seekor kerbau cacat yang mana kepalanya tidak seperti bentuk kerbau. Koordinasi saiz badan, kepala dan kaki pastinya tidak sperti yang diimaginasikan. Lebih malang lagi, tanduknya pastinya tidak seiring dengan kepala.

Begitulah juga dengan gitar. Berikan aku sebuah gitar sempurna. Mari aku dendangkan "Terukir di Bintang". Mungkin anda akan dengarkan karya baru bertajuk "Terjelir di Bendang". Gerakan tangan untuk menekan ton gitar tidak secekap dan menepati temponya. Malah akan ada kekurangan ton di sepanjang lagu. Apabila tangan sedang asyik menekan ton sambil memetik tali-tali gitar, aku akan cuba menyanyikan lagunya. Maka bertaburanlah lagu dan muziknya. Irama ke selatan, lagu ke utara.

Maka aku akur, aku "PEKAK TON". Mungkin ini penyakit. Mungkin juga bakat tidak memihakku. Pekak ton pada asalnya adalah kegagalan mengesan kekuatan bunyi. Maksudnya perlahan dan kuat sesuatu bunyi, gagal dianalisis oleh seorang pesakit pekak ton. Tapi dalam bidang muzik, pekak ton bererti kegagalan seseorang mengingati nada-nada muzik, yang mana not tinggi dan not rendah, kegagalan mendapatkan tempo nyanyian, dan sebagainya. Aku pekak ton dalam muzik. Tapi tak bererti penyakit ini tidak dapat dirawat. Cuma kegigihan akan mengatasi masalah ini.

Aku suka mendengar muzik. Jika muzik itu berjaya menangkap telinga, aku akan mengkaji liriknya. Jika ada kaitan dengan perjalanan hidup, atau unsur ketuhanan dan kekeluargaan, maka aku akan mudah menyukai sesebuah lagu.Mungkin minatku cenderung ke arah penulisan. Banyak perkara aku ingin beritahu kpd masyarakat. Banyak faedah boleh dikongsikan bersama. Jadi aku fikir mungkin gabungan penulisan dalam lagu mampu mendapat tempat dihati masyarakat. 

Seni lagu tidaklah sesempit zaman sekarang, keadaan dimana lagu-lagu berkumandang di radio berkisarkan tentang cinta. Karya-karya sentuhan Wali Band umpanya mampu memertabatkan lagu-lagu ketuhanan dan secara tidak langsung memberi pendedahan agama kepada masyarakat. Begitu juga lagu-lagu sentuhan Maher Zain. Beberapa lagu daripada M.Nasir dan Yasin(Brothers) juga walaupun tidak beraliran nasyid juga mampu diketengahkan sebagai halwa telinga penyubur agama apabila mengetengahkan tema ibu bapa, ketuhanan, persahabatan dan juga motivasi. Kerana kita harus akur, tidak semua orang gemarkan nasyid. Tidak semua orang gemarkan rentak padang pasir.

Malang sekali, seni muzik tiada dalam diriku. Aku pernah belajar bermain gitar. Sudah mengenali not-not. Tahu beberapa cara untuk bermain, tetapi tidak begitu sempurna. Tetapi semuanya ibarat hangat-hangat tahi ayam. Waktu masih belajar di U, aku ada membeli sebuah gitar dengan harapan aku akan lebih serius untuk mempelajari muzik. Pantang sibuk, tangan mulalah gatal hendak memetik gitar. Malah, semakin dekat dengan peperiksaan, semakin terasa ingin bernyanyi sambil memetik gitar. Ertinya, bermain gitar mampu menangani tekanan. Tetapi apabila sudah tamat pengajian, gitar itu hanya tersadai di sudut bilik. Di kepala katil. Lama tidak berusik. 

Gitarku di sudut bilik.
Namun, gitar itu tetap ada ceritanya. Kisah di sebalik gitar tidak akan dilupakan. Gitar itu tidak akan dijual. Mungkin nanti aku aka bersatu dengan gitar itu. Siapa tahu??;)

Tiada ulasan:

Survey!