klik!2

Selasa, 1 November 2011

"Dunia Sementara" - Umar Ali

Sambungan dari entry UMAR ALI.

Umar Ali..Seorang buruh binaan. Hidup serba kekurangan. Berhijrah ke negara orang. Meninggalkan keluarga jauh di kampung halaman. Dipandang rendah masyarakat Malaysia. Tetapi telah berjaya mengajarku erti "dunia sementara".

Ungkapan yang bersahaja dan sering didengari. Cukup biasa dan tidak terkesan di hati apabila ungkapan "dunia sementara" keluar dari mulut para ilmuan baik di kaca TV, di kuliah-kuliah dan ceramah-ceramah agama. Namun apabila ungkapan ini diungkapkan Umar Ali, aku cukup berasa takjub. Dia bukan orang melayu. Malah tidak fasih berbahasa Melayu. Dia tidak perlu untuk menghuraikan apakah definisi dan pengertian sebenar "dunia sementara". Cukup baginya berkata-kata dengan cukup bersahaja bahawa dunia sementara.

Aku pernah terlibat secara langsung dengan buruh-buruh binaan. Aku tahu dan arif benar dengan kehidupan mereka. Bagi aku, untuk menemui seorang buruh binaan yang kekal menunaikan solat, adalah sangat mustahil. Kerja mereka memenatkan. Latar belakang mereka juga tidaklah cemerlang. Malahan bergaul degnan rakan-rakan yang belum tentu baik akhlaknya. Tetapi Umar Ali bersolat di masjid. Tahap ketakwaannya yang memungkinkan dia dipanggil Allah unutk ke rumahNya. Hebatnya Umar Ali tidak terhenti di situ. Dia menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia. Bersopan santun. Lembut tuturnya.


Subuh itu, sesampainya aku di masjid imam sudah berada di rakaat yang kedua. Aku berada di saf kedua. Betul-betul di belakang Umar Ali. Sesudah solat berjemaah, wirid dan doa, Umar Ali bingkas menoleh kebelakang. Dia tersenyum lebar. Memberikan salam sebaiknya kepadaku bagaikan dia menjaga lisannya dengan rapi. Huluran tangannyya kujabat mesra dan sengaja aku biarkan tangan kami berjabat lama. Biar terasa persaudaraan Islam antara kami. Keras telapak tangannya.

"Cuti ye harini. Mari, saya nak bagi nasi"  sambil aku mengajaknya ke motosikal.

"Ya, Cuti." jawabnya sambil kami berjalan menuruni tangga masjid. Dia mula menampakkan kemesraan. Bertanyakan di mana aku tinggal, ibu ayah di mana, dan pelbagai lg soalan.

Sesampainya di motosikal, aku ambilkan 2 bungkus nasi lemak di bakul motosikal untuknya. Cara dia mengungkapkan terima kasih melihatkan lagi bahawa dia sangat menghargai pemberian itu.

"Awak tolong. Letak nombor" katanya sambil mengeluarkan telefon bimbitnya meminta aku memasukkan nombor telefon aku.

"Buat apa?" tanyaku sangsi.

"Sahabat. Kawan-kawan" ringkas jawabnya.

"Ya. yaa.." penjelasan ringkasnya membuatkan aku akur yang tiada niat jahat daripadanya harus aku syak. Bukan apa, risau juga. Manalah tahu kalau ada udang di sebalik batu. Menaruh sedikit sangsi untuk keselamatan di apalah salahnya bukan?

Malamnya, Umar Ali muncul lagi di masjid. Selepas solat maghrib, dia angkatkan meja dan kerusi untuk ustaz yang bakal memberi kuliah maghrib. Begitulah dia sebelum ini. Dia pasti menjadi orang pertama yang mengalihkan meja dan kerusi itu. Umpama dia merebut pahala yang terhidang. Gembira aku melihat tingkahnya.

Setelah itu dia duduk di sebelahku.

"Awak sakit lagi?" dia bertanya kepadaku.

"Sikit lagi, sebelah kanan" balasku. Tanpa disuruh, dia menggunakan hanya sebelah tangannya untuk mengurut pinggang kananku. Teknik yang sama. Urutan yang sama. Sekali lagi keajaiban berlaku, sengal pinggangku akibat menaiki Gunung Senyum hilang.

"Awak ada belajar mengurut?" soalku kepada Umar Ali.

"Ada la sikit-sikit" jawabnya mesra.

Tanpa disangka-sangka. Umar Ali membuka ruang  persoalan yang agak sukar untuk aku berbicara.

"Sini, worang mati. Kenduri." katanya.

"Ya, itu majlis tahlil" kataku pula.

"Zaman nabi, tiada" sambungnya lagi.

Selepas dia menyatakan tiada wujudnya amalan kenduri untuk si mati, aku terdiam seketika. Memikirkan apakah point penting untuk aku keluarkan. Keadaan akhirnya diselamatkan oleh Ustaz yang memberi kuliah. Kami sama-sama mendengar kuliah maghrib hinggalah masuk waktu Isyak.

Sewaktu Ustaz memetik hadith-hadith, Umar Ali bagaikan sudah mengetahui isi-isi hadith. Akhirnya aku bertanya kepadanya bagaimana dia tahu hadith tersebut, dai mengatakan dia ada mengumpul kitab-kitab hadith yang popular seperti Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Bukhari dll. Terkesima aku dengan jawapannya. Sedangkan aku ini, jarang-jarang menelusuri makna sebenar al-Quran, Umar Ali pula sudah cuba mendalami hadith-hadith. Tidak hairanlah anaknya menjadi tahfiz. Juga tidak hairanlah dia hadir ke masjid dengan penuh rasa tawaduk.

Bukannya orang kita tiada yang beriman dan bertakwa setaraf Umar Ali, tetapi bagiku seorang buruh binaan sepertinya adalah amat luar biasa dengan jalan kehidupan yang dipilih. Aku juga mengambil kesempatan bertanyakan kemana rakannya yang lain, katanya mereka menonton TV pada waktu malam.

Sehingga ke hari ini, dia semakin mesra denganku dan terasa ikatan ukhuwwah itu teguh berdasarkan prinsip Islam.

Pinggangku tidak lagi bermasalah sehingga ke hari ini. Syukur Allah menemukanku dengan seorang sahabat, UMAR ALI...

Tiada ulasan:

Survey!