klik!2

Khamis, 27 Oktober 2011

Umar Ali

Kelmarin, sedang mendengar kuliah subuh. Badan sakit2 akibat memanjat Gunung Senyum.

"Awak sakit? Mari saya tolong" seorang lelaki berkulit hitam menegur dan menawarkan bantuan.

"Oh, boleh. Sini, saya lenguh sini" aku menunjukkan bahagian belakang sebelah kiri yg sengal2.

"Awak sini sikit" katanya sambil aku mengalihkan belakangku ke arahnya sambil mendengar kuliah maghrib bersama-sama di masjid.

Dia mula mengurut. Anehnya aku tidak merasakan sedikitpun kesakitan. Malah jari-jemarinya tidakpun menekan bahagian belakang. Bagaikan diusap-usap. Setelah beberapa minit, sengal2 hilang. Aku sendawa sedikit demi sedikit. Sakit yang lebih di sebelah kiri hilang. Tinggal sedikit kesakitan di sebelah pinggang kanan.

Sejurus selesai kuliah maghrib, sementara menunggu Isyak, kami berkenalan.

"Kau tinggal mana?" tanya aku ringkas.

"Sana depan, bangunan kedai baru tengah buat" jelasnya yg bermaksud dia adalah pekerja kontrak binaan. Bermakna dia tidak kekal di sini. Mungkin 2 3 bulan lagi projek akan siap. Gelap kulitnya, tapi seakan suci dek akhlaknya yang baik. Berjambang dan berjanggut, aku yakin bahawa dia menyimpannya kerana menuruti sunnah Rasulullah SAW. Berkopiah dan berkain pelikat serta berbaju biru gelap, kecil sahaja orangnya.

"Kau dari mana? Pandai mengurut. Terima kasih" tanyaku lagi seakan takjub ingin berkenalan dengannya sementelah sakitku hilang.

"Saya Bangladesh. Mari sini 4 bulan kurang mau 4 taun" jawabnya.

"Oh, dah lama. Ada anak bini?" bagai inspektor polis, perasaan ingin tahu kian jelas.

"Anak bini Bangladesh. Saya anak, hafaz quran" jelasnya.

"Subhanallah, bagus. Bila mau balik Bangla?" sambungku.

"Bangla, kecil. Orang, ramai. Malaysia, besar. Orang, kurang. Sini saya datang. Cari rezeki. Apa mau kisah, dunia sementara" jelasnya. Aku kian terpesona dengan penjelasan demi penjelasan yang diberi. Antara lain dia sering mengeluarkan perkataan "Insyaallah, Subhanallah" atas setiap percakapannya.

Azan berkumandang. Solat ditunaikan.

Setelah selesai berwirid dab berdoa. Dia datang mendekatiku untuk bersalaman.

"Awak subuh datang?" tanyaku.

"Esok cuti, Deepavali. Saya Insyaallah datang" katanya.

"Datangla, aku mau bagi nasi. Kau urut bagus. sakit saya hilang"

"Insyaallah. Insyallah" terbit dari mulutnya.

Sebelum beredar dia dulu yang bertanyakan namaku.

"Izzat. Izzat Muzzammil" kataku.

"Muzzammil??" dia mengangkat sedikit suaranya. Bagiku, reaksi yang diberikan menandakan dia sememangnya hidup bertemankan al-Quran. Kerana dia mengetahui wujudnya surah al-Muzzammil.

"Ya, Izzat Muzzammil" kataku sambil tersenyum. "Nama kamu?" tanyaku.

"Saya Umar Ali. Umar Ali" katanya.

"Oh, Umar Ali. Besok datang ya, saya bagi nasi" kataku.

"Insyaallah. Insyaallah" jawabnya sambil kami beredar.

Pertemuan pertama yg diatur Allah secara kebetulan ini mengubah 180 darjah persepsiku terhadap pendatang asing. Umar Ali yang mengubahnya. Dan terima kasih tuhan, kerana mengaturkan aku duduk di sebelah Umar Ali. Juga menawarkan urutan yang menghilangkan kesakitan melalu Umar Ali.

Bersambung..(entry berikutnya akan aku jelaskan pertemuan kedua kami hari semalam dan siapa Umar Ali dengan lebih dekat)

Tiada ulasan:

Survey!