klik!2

Isnin, 17 Oktober 2011

Kisah Klasik Untuk Masa Depan (siri 5) : "Guru-guru"

Pagi Isnin kembali lagi. Kenderaan-kenderaan mula memenuhi jalan di hadapan sekolah. Ibu bapa menghantar anak masing-masing, motosikal-motosikal para pelajar menderap masuk ke pagar sekolah, pelajar yang berjalan kaki dan juga lebih memeriahkan suasana apabila terdapat bas-bas yang memuntahkan puluhan pelajar di satu sudut di hadapan sekolah.Pelbagai gaya menghadapi "Monday blues". Ada yang masih terlena, terdapat juga yang ceria dan ada juga yang terpaksa ke sekolah.

Di tepi pagar sekolah, dari kejauhan terlihat kelibat Ubaidah sedang berjalan kaki menuju ke pintu pagar sekolah.  Gaya langkahnya tidak menampakkan keyakinan. Bajunya lusuh namun kekal kemas. Loceng dibunyikan. Setiap pelajar kelihatan menuju ke dewan utama. Perhimpunan mingguan akan berlangsung. Guru-guru juga kelihatan tergesa-gesa. Ada yang masih di bilik guru, malah ada yang belum pun "punch card".

Ubaidah kelihatan gelisah. Dia berjumpa dengan rakan-rakan dan menyatakan niat untuk ponteng perhimpunan.Tiada yang ingin turut serta dalam misi Ubaidah. Malah Umar yang merupakan teman rapatnya juga enggan mengikutnya pagi ini. Dia terpaksa menyertai perhimpunan kerana tidak mahu lagi mencabut kemuncup di padang. Penangan denda Cikgu Azmi cukup pedih untuk ditelan. Bukan sahaja fizikal mereka dipergunakan, malahan Cikgu Azmi akan memastikan mental mereka menerima hukuman atas kesilapan yang mereka lakukan.

Sebagai guru disiplin sekolah, Cikgu Azmi sememangnya digeruni pelajar. Lagaknya seperti pegawai tentera dan sentiasa menggenggam rotan cukup membuatkan para pelajar gentar. Baginya, tugas yang digalas bagi memastikan sekolah terhindar daripada masalah disiplin harus digalas dengan penuh tegas. Pantang sekali melihat salah laku pelajar, pasti ada habuannya. Masih segar dalam ingatan Ubaidah, ketika didenda bersama Umar akibat ponteng perhimpunan. Disuruhnya oleh Cikgu Azmi mencabut rumput seberat 1 kilogram setiap seorang di tengah terik 12.30 tengah hari. Hampir 40minit sebelum selesai mencabut kemuncup, mata sudah berpinar-pinar, kepala mula pening menahan terik mentari. Namun pagi ini dia nekad, tidak mahu hadir ke sesi perhimpunan.

Ubaidah menuju ke kantin sekolah, tiada seorang pelajar pun melainkan dia. Dengan selamba dia membeli sebungkus nasi lemak dan air suam.

"Dik, kenapa tak pergi perhimpunan?" tanya Makcik Ros kepada Ubaidah sambil tangannya mengisi nasi lemak ke dalam pinggan.

"Lapar laaa Makcik, lepas makan ni saya pergi" Ubaidah menjawab dengan tenang dan mesra.

"Nanti kena marah dengan Cikgu Azmi, pergi la makan cepat-cepat" nasihat Makcik Ros kembali.

"Baik Makcik, terima kasih" balas Ubaidah ringkas sebelum menuju ke meja makan untuk menikmati makanan.

Pelajar di dewan sedang mendengar ucapan Pengetua sekolah. Pengetua dalam ucapannya kerap kali menyentuh soal disiplin pelajar. Baginya masalah disiplin kecil yang tidak dicegah inilah yang akan meruncing menjadi masalah yang tidak dapat diselesaikan. Namun, dalam ucapannya juga dia sangat berharap agar pelajar memberi kerjasama sebelum tindakan diambil terhadap mana-mana pelajar yang melakukan kesalahan.

Guru-guru juga sibuk berbicara tentang disiplin. Lebih banyak sungutan daripada suara membela pelajar. Kecenderungan menyalahkan pelajar seratus peratus selalunya berlaku di mana-mana sekolah pun. Jarang sekali guru-guru bertindak menyelesaikan kekusutan pelajar. Mereka lebih cenderung menghukum. Hasilnya, kesilapan yang dilakukan akan diulangi. Malangnya, jika terus berpanjangan, pelajar yang sememangnya bermasalah akan terus merendah diri dan menganggap diri mereka terlalu jahat.

Ubaidah begitu asyik menjamu selera. Dia keseorangan di kantin. Nasi lemak yang terhidang dinikmati perlahan-lahan. Cikgu Azmi membuat rondaan. Dia ingin memastikan tiada pelajar yang ponteng perhimpunan mingguan. Setiap sudut sekolah dipantaunya. Ketenangannya bagaikan diragut. Begitu tercabar ketinggian martabatnya bila terlihat Ubaidah menjamu selera. Giginya diketap. Rotan di tangan kanannya digenggam kemas. Susuk tubuhnya yang sedikit gempal dan berkulit gelap kelihatan tercabar dengan tindakan selamba Ubaidah.

Dia menghampiri Ubaidah melalui belakang Ubaidah.

"Hoi!!!Kurang ajar!!!Orang lain pergi perhimpunan kau sedap2 makan kat sini..Selalu buat masalah. Bodohhh!!" Herdikan Cikgu Azmi tidak dapat dibendung lagi. Segala apa yang terlintas di kepalanya diterjemahkan di mulutnya. Ibarat singa kelaparan, Cikgu Azmi bagaikan meroyan.

"Buang nasik kamu tu!!!" tengkingnya lagi menandakan dia belum puas untuk memarahi Ubaidah.

Ubaidah yang tergamam dengan tindakan Cikgu Azmi itu enggan membuang nasinya. Walaupun dia sememangnya menghormati gurunya itu, tetapi tindakan luar batasan Cikgu Azmi benar-benar mencabar keegoan remajanya. Tiada lagi dia terbayang seorang guru di hadapannya sementelah tindakan penuh emosi kebinatangan dipamerkan gurunya itu. Yang nyata, dia juga tidak sedar kedua-dua genggaman tangannya sudah tergenggam menandakan dia bersedia membuat serangan balas jika diapa-apakan gurunya itu.

"Ini kali terakhir aku cakap, buangkan makanan tu!! Kalau tak kau nahasss!!!" jeritnya lagi.

Ubaidah yang duduk di kerusi kini berdiri. Mukanya merah padam. Dia merenung baki nasi yang tinggal sementara Cikgu Azmi belum puas memarahinya. Dalam kekalutan, Cikgu Rusni yang kebetulan lalu di situ tiba-tiba mengalirkan air mata. Dalam esak tangisnya, dia cuba menahannya untuk berkata-kata. Dia memberanikan diri menghampiri Cikgu Azmi dan Ubaidah. Para pekerja dan pengusaha kantin sekolah kelihatan berkumpul di depan kantin memerhatikan apa yang sedang berlaku.

"Ubai, buangkan saja nasi tu. Nanti waktu rehat cikgu belikan yang lain. Mari ikut cikgu ke dewan" pujuk Cikgu Rusni sambil menahan sebak. Cikgu separuh umur itu cukup tersentuh dengan apa yang berlaku. Dia cukup mengenali Ubaidah. Guru Bahasa Melayu yang disayangi ramai pelajar itu akhirnya berjaya menenangkan keadaan. Ubaidah yang begitu menghormati CIkgu Rusni kini akur dengan kehendak guru kesayangannya itu.

"Tak apalah Cikgu Rusni, tak perlu susah-susah. Lagipun memang salah saya" ujar Ubaidah sambil membuang  nasi ke dalam tong sampah tanpa ragu-ragu. Dia tidak mahu Cikgu Rusni menjadi mangsa keadaan, jika boleh dia mahu meeka bersurai tanpa Cikgu Rusni mendapat sebarang masalah daripada Cikgu Azmi. Guru yang cukup penyayang itu sudah dianggapnya sebagai ibunya sendiri.

Cikgu Rusni cukup dikenali sebagai seorang guru yang penyayang. Uniknya, semakin nakal pelajar, semakin disayangi Cikgu Rusni. Tidak hairanlah Cikgu Rusni sentiasa disapa para pelajarnya. Sebahagian pelajar-pelajar di kelas ke-5 dan ke-6 memanggilnya "ibu" tanpa disuruh. Begitu tinggi kasih sayang seorang guru terhadap para pelajarnya sehingga pelajar tidak lagi memanggilnya "cikgu".

Tindakan Ubaidah membuang nasi ke dalam tong sampah amat meruntun jiwa lembut milik Cikgu Rusni. Dia lantas bergerak menuju dewan bersama-sama Ubaidah.

"Minta maaf Cikgu Azmi, saya bawa Ubai ke dewan" Cikgu Rusni  meminta izin daripda Cikgu Azmi dengan penuh rendah diri.

"Baiklah Cikgu Rusni. Hah kamu!! Nasib baik ada Cikgu Rusni, kalau tak nahas kamu saya kerjakan. Degil!! Selalu buat masalah. Pastikan saya tak tangkap kamu lagi lepas ni" kata Cikgu Azmi tenang setelah dia terpaksa menundukkan kemarahannya dengan kehadiran Cikgu Rusni yang lebih tua daripadanya.

Ubaidah diam. Tidak mengangguk sekalipun terhadap kata-kata Cikgu Azmi. Baginya, pengorbanan Cikgu Rusni yang ibarat merendahkan martabat diri memohon maaf terhadap Cikgu Azmi bagi pihaknya amat dikesali. Dia lebih rela bertumbuk dan dibuang sekolah daripada meminta maaf daripada Cikgu Azmi. Tetapi demi kasihnya terhadap gurunya itu, dia turutkan sahaja. Mereka berdua meninggalkan kantin sekolah menuju dewan meninggalkan Cikgu Azmi yang kelihatan masih tidak berpuas hati.

Umar di dewan sekolah sedang lena tidur sambil duduk bersila tatkala Tuan Pengetua sekolah masih lagi memberikan ucapan. Namun dia terbangun apabila menyedari Ubaidah juga turut duduk bersila di belakangnya.

"Kenapa kau datang balik ni. Kau rindu dengan Pengetua ke??" kata Umar kepada Ubaidah.

"Si "kingkong" halau aku. Kantoi kat kantin tadi" jawab Ubaidah ringkas.

"Kah kah kahhh...tu laaa, nak monteng tak pandai. Lain kali belaja dengan aku" ujar Umar sambil ketawa kecil.

"Diamlah, aku jentik telinga kau baru nak tahu diam" Ubaidah yang masih bengang membalas sinis.

Umar terfikir apa yang sebenarnya berlaku. Awal pagi tadi, Ubaidah datang kepadanya untuk meminjam duit. Dia hanya menghulurkan dua ringgit sebelum Ubaidah menuju keluar kelas. Dia mengetahui masalah kewangan rakan karibnya itu. Pernah Ubaidah mengadu kepadanya tidak makan nasi selama 3 hari. Kesempitan hidup Ubaidah kian terasa semenjak ayahnya tiada. Hanya ibunya sahaja yang kini membuat kuih untuk dijual bagi menyara keluarga. Oleh itu, Umar kerap kali memberikan makanan kepadanya walaupun tidak diminta.

Cikgu Rusni juga memahami masalah yang dihadapi Ubaidah. Selalunya, Ubaidah memilih Cikgu Rusni untuk menceritakan masalahnya berbanding Guru Kaunseling sekolah. Sekeras-keras dan senakal-nakal Ubaidah, dia juga memerlukan panduan seorang guru bagi menangani masalah yang dihadapi.

Baik ustazah, baik guru kaunseling, baik bertudung labuh, baik beragama penampilannya, bilik guru tidak pernah sunyi menceritakan hal buruk pelajar secara terbuka. Apa sahaja berita negatif cukup pantas bertiup. Keadaan inilah sebenarnya menjadi duri dalam daging yang membarahkan lagi keadaan pelajar-pelajar yang sudah bermasalah dirumah.

Sudah 9 buah sekolah Cikgu Rusni menaburkan khidmat. Keadaan hampir sama. Dia cukup sedih apabila guru-guru berbicara tentang hal buruk pelajar terutama yang tidak sepatutnya diketahui umum. Pernah sekali seorang ustazah menyebarkan cerita tentang seorang pelajar perempuan. Waktu di kelas, ustazah tersebut menyuruh pelajar perempuan itu membaca potongan ayat al-Quran, malangnya pelajar itu sedikit pun tidak mampu membacanya. Maka dengan lantang ustazah tersebut naik angin dan menempelak pelajar tersebut.

"Teroknya kamu ni, kat rumah kamu tak sembahyang ke??..ha??ayah dengan mak kamu tak sembahyang??" tanya ustazah kepada pelajar itu di dalam kelas yang disaksikan pelajar-pelajar lain. Pelajar itu terdiam,tidak mampu berkata apa-apa.

"Apa lah Quran pun tak pandai nak baca, masuk neraka awak ni nanti" tambah ustazah tersebut menampakkan lagi lagak sumbangnya sebagai seorang agamawan.

Akhirnya pelajar itu bersuara.

"Maafkan saya ustazah, saya tak pandai. Di rumah memang mak ayah tak pernah sembahyang. Ayah saya tak pernah suruh saya sembahyang. Mak pula kadang-kadang sahaja" katanya sambil berbisik kepada ustazah.

Malang sekali, cerita tidak berakhir di situ. Tidak pula pelajar itu diberi bimbingan sewajarnya. Sebaliknya, hal buruk keluarga pelajar itu menjadi bualan hangat bilik guru. Malah guru-guru umpama mengecop pelajar tersebut sebagai bermasalah. Keadaan seperti inilah yang pantas tersebar di bilik guru. Keserabutan yang bertahun ditanggung Cikgu Rusni. Dia begitu hairan mengapa begitu seronok berborak,terutamanya bercerita tentang orang lain. Yang menjadi mangsa adalah pelajar,

Ketirisan maklumat juga amat dikesali Ckgu Rusni. Seorang guru kaunseling yang sepatutnya membimbing pelajar tidak amanah dalam tugasannya. terdapat satu kisah dimana pelajar yang mempunyai masalah keluarga mengalami tekanan. Malangnya tindakan beraninya bercerita kepada guru kaunseling dijadikan bahan cerita bilik guru.

Pelajar tersebut mendedahkan keadaan di rumahnya yang goyah. Bapanya sering mabuk dan pulang dengan wanita lain. Dia juga seringkali dirogol bapa sendiri. Namun ibunya tidak mempercayai kata-katanya. Pelajar yang sepatutnya dilindungi haknya kini dicabuli kepercayaan yang ditaruh. Akibatnya, guru-guru sekali lagi mengecop pelajar tersebut sebagai bermasalah.

Ini adalah kes popular dan cukup mengaibkan. Kadangkala, terdapat juga kes-kes kecil yang diceritkan dengan nasi tambah dan berulamkan fitnah. Contohnya seorang guru melihat seorang pelajar di kawasan bandar sedang menunggang motosikal di kalangan mat-mat rempit. Itu sahaja yang dilihatnya.Tetapi apabila sampai di bilik guru, ada guru lain mengiakan cerita pelajar tersebut bahkan menambahkan lagi cerita.  Mereka mengutuk kerana pelajar tersebut sering ponteng kelas, gagal menyiapkan kerja, dan macam-macam hal lain. Tetapi sekadar di situ. Api kebencian akhirnya kian tinggi akibat kebusukan hati para guru. Tiada bimbingan, hanya kecaman.

Kadangkala Cikgu Rusni cukup hairan, para guru mengutuk pelajar ibarat mereka tidak memiliki anak sendiri. Terlalu sedap mengata orang tanpa memikirkan anak sendiri juga berisiko melakukan hal yang sama. Malah terdapat juga kes dimana anak sendiri jahat seperti syaitan tetapi si ibu tidak pernah tahu malahan sering memuji-muji kebaikan anaknya. Tapi apabila ada hal orang lain, merekalah jaguhnya. Kuman di jubah imam nampak ketara, tahi di hidung sendiri buat-buat tidak nampak.

Setiapkali terbayangkan nasi yang dibuang Ubaidah ke dalam tong sampah, Hati Cikgu Rusni begitu pilu malah mengalirkan air mata. Sudahla duit tak ada, adik-adik ramai, apabila sedang kelaparan, disuruhnya buang makanan tanpa boleh membela diri. Baginya, setiap kesalahan pelajar ada sebabnya. Pada yang tidak bernasib baik menerima didikan akhlak yang tinggi, adalah tidak adil untuk menghukum terus mereka. Sikap yang tidak ada pada guru-guru yang dikenalinya.

Sekolah gempar lagi. Bilik guru bising lagi. Anak ustazah ditangkap basah. Video 3gp pantas tersebar. Ustazah mengajar sembahyang. Juga tip-top tajwidnya. Dia juga menjaga tepi kain orang. Tetapi gagal menjaga akhlaknya sendiri..dan anak-anaknyaa..

Tiada ulasan:

Survey!