klik!2

Isnin, 1 Ogos 2011

Selagi Sukan Belum Menjadi Budaya, Kita Kepingin Kejuaraan

Assalamualaikum..Salam Ramadhan penuh keberkatan..Semoga bulan suci ini mendatangkan jutaan rahmat buat kita semua..Syukur kepada Allah, kita sekali lagi dipertemukan dgn bulan mulia ini..Bulan dimana pintu neraka terkatup rapat..Pintu syurga pula dibuka seluas-luasnya..Alhamdulillah..

Sebut sahaja sukan. Apa yang dominan bagi Malaysia?Skuasy,badminton,dan sepaktakraw? Sayangnya,ketiga-tiga sukan ini bukanlah jawapannya. Hanya sesekali kita cemerlang, sama seperti kedudukan sukan boling padang,menembak dan memanah. Ketandusan bakat olahraga tidak perlu kita rungkaikan, rekod lapok pecutan 100meter Watson Nyambek dan Azmi Ibrahim di zaman 1996 masih belum berjaya dipecahkan.

Sememangnya dua orang raja sukan Malaysia bergelar Datuk iaitu Lee Chong Wei dan juga Nicol David memiliki kelas tersendiri dalam bidang mereka. Namun kita tidak boleh menganggap sukan tersebut dominan bagi kita. Kerana di belakang mereka pemain2 lain jauh ketinggalan dari segi taraf permainan. Malaysia ketandusan Piala Thomas hampir 20 tahun. Skuasy pula tidak pernah mengecapi kejuaraan penting selain apa yang dilakukan Datuk Nicol. Sesekali, muncul pula atlet olahraga seperti Roslinda Samsu, tetapi keadaan masih sama. Dibelakang Roslinda, kita tidak mempunyai bakat yang sekurang kurangnya mengekori rapat kemampuan beliau dan boleh menggantikan beliau pada bila-bila masa.

Walaubagaimanapun, budaya berbasikal yang mula tumbuh di Terengganu hasil inisiatif kerajaan negeri mula menelurkan hasil. 3 penerima anugerah Darjah Kebesaran Negeri Ahli Mahkota Terengganu (AMT) iaitu jaguh jarak jauh dan specialist bukit Anuar Manan, jaguh trek dunia Azizulhasni juga jaguh wanita Fatehah Mustapa berjaya menempatkan diri di kelompok terbaik dunia. Namun, apabila Azizul menyumbang tenaga dalam kuartet acara kejar mengejar, pasukan negara masih ketinggalan. Masakan tidak, tahukan anda hanya ada 2 velodrom di negara kita?? Bagaimana hendak dibudayakan sukan ini?? Sedangkan kita amat ternanti-nanti pingat emas pertama Olimpik London 2012 dari velodrom. Selagi belum menjadi budaya, kita pasti ketandusan bakat. Sinaran bakat2 istimewa seperti nama2 di atas hanyalah seketika, dan kita perlu akur mereka berdiri di atas usaha sendiri. Jika suatu hari mereka berundur, kita pasti kemarau lagi.

Terbaru, kita terhiris dengan libasan Pornchai Kaokaew dalam acara Piala Dunia Sepaktakraw 2011 di laman sendiri. Tewas 3-0 dalam perlawanan akhir langsung menjatuhkan air muka kita sebagai peneraju sepaktakraw dunia. Paling menakutkan, kita pernah rebah di tangan Laos yang menjadi makanan sejak sekian lama. Melihatkan beberapa rejaman Norshahrudin Mad Ghani sebagai "killer" negara diblok dengan bersahaja Pornchai yang juga killer kedua Thailand, nyata kita ketinggalan jauh. Jurulatih Thai seperti bermain akal apabila menyimpan killer utama mereka. Lebih memedihkan tekong negara Noor Azman berulangkali melakukan kesilapan sehingga terpaksa ditukarkan dengan memasukkan Syazam Husin. Malang sekali, kesilapan tetap sama.

Kita terpalit lagi oleh politik sepaktakraw ciptaan sendiri. Setelah lama mencemuh servis kuda, dari zaman kebangkita tekong Suebsak Phunsueb yang kini sudahpun bersara, Persatuan Sepaktakraw Malaysia PSM bagaikan bersikap "mahu menang" apabila mengubah format servis yang tidak dpersetujui Thailand. Sistem servis 21 mata yang menjadi kekuatan Thailand sebelum ini dengan kelebihan servis kuda mereka ditukar kepada sistem 15 mata yang menggariskan servis secara 3 mata bergilir-gilir seperti kiraan mata pingpong. Namun, lebih memalukan, Malaysia nyata dilibas kuat oleh bakat killer Thailand yang tidak pernah ketandusan bakat. Semalam, pasukan negara hanya kalah kepada KELAB thailand. Baca di sini. Yang pasti, ada ribuan lagi bakat sepaktakraw di Thailand. Sifirnya mudah, Sepaktakraw merupakan BUDAYA di Thailand sepertimana sukan Tomoi.

Andai disorot sejarah, kita akan lebih malu. Sepaktakraw berasal daripada negara kita dan dinamakan sepak raga dimana di zaman kesultanan melayu melaka sudahpun dimainkan. Namun tidaklah seperti sekarang, sepak raga dimainkan dlaam bentuk bulatan. Perkataan takraw pula berasal dari Thailand yang kini dengan gah menjadi kuasa utama dunia. Lama-kelamaan, apabila sukan sepakraga mula dimainkan di gelanggang seperti permainan badminton, acara ini dikenali sebagai sepaktakraw dimana gabungan perkataan dua negara diguna pakai. Hakikatnya, kita masih pelopor sukan ini. Pelopor yang hanya sentiasa menjadi nombor 2.

Masih aku ingat waktu kecil dulu, acara sepaktakraw ditanyangkan di stesen TV negara dengan tajaan syarikat rokok Perilly's.. Namun kini apa sudah jadi?? Tiada penaja atau kementerian terlepas pandang?? Sudahlah sepaktakraw tiada di TV, bola sepak aksi liga tempatan pula hanya perlawanan penting ditayangkan. Bagaimana hendak dibudayakan?? Zaman kejaguhan sepaktakraw negara 80an-90an kini hanyalah sejarah. Kita ketinggalan jauh di belakang Thai. Zaman kegemilangan kini hanyalah sejarah. Usahkan hendak dibudayakan sepaktakraw ini, barisan 3 pemain negara pun belum tentu kita kenali. Berlainan dengan zaman kecil dahulu, setiap taman perumahan, setiap kampung pasti ada disediakan sekurang kurangnya satu gelanggang takraw bersimen. Setiap petang pastinya kita melihat kelibat para remaja dan belia. Namun kini gelanggang hanya tinggal gelanggang. Berkuburlah sepaktakraw negara. Sama keadaannya dengan bola sepak. Padang ibarat hutan semak samun.

Selepas cedera parah dilibas Thai, kita luka lagi dicakar Singapura. Pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Bola Sepak 2014 ada peningkatan dari segi permainan. Sememangnya meningkat. Cuma kita tewas dengan kealpaan dan kesilapan sendiri. Sayang momentum dibawa sejak 2009 gagal diertahankan untuk satu perlawanan penting menentang jiran tetangga. Akhirnya memberi kesan kepada rakyat Malaysia. Kehadiran aku bersama hampir 100 000 penyokong di Stadium Bukit Jalil nyata melihatkan perasaan hampa. Namun para penyokong kelihatan enggan meninggalkan stadium. Mereka menanti pemain melakukan pusingan hormat keliling stadium. Pada akhir perlawanan, mereka menepuk tangan ke arah para pemain tanda terima kasih walaupun sudah tewas. Ini petanda baik. Ini budaya lama yang timbul kembali. Sebagaimana sayangnya rakyat kepada arwah Supermokh, begitulah sayangnya mereka kepada skuad negara pada masa kini. Yang nyata bendera Jalur Gemilang masih lagi menjadi kebanggaan.

Ingin merungkai permasalahan bola sepak, kita akan lebih sedih. Tetapi hakikatnya bola sepak tidak lagi dimainkan secara meluas. Budaya tidak mampu berkembang akibat kekangan ibu bapa. Mungkin dari segi budaya, kanak2 termotivasi dengan pasukan Manchester United dan Brazil. Ini adalah kerana malapnya liga tempatan selepas era rasuah. Ibu bapa tidak lagi membawa anak ke stadium. Laporan lebih-lebih media tempatan terhadap skuad luar negara juga menjadi faktor. Laporan untuk liga tempatan hanyalah satu rangkuman. Jika 10 perlawanan dilangsungkan, 10 perlawanan tersebut akan dirangkumkan yang kadangkala nama penjaring gol juga tidak dinyatakan. Itupun setelah 2 hari perlawanan diadakan. Bagaimana budaya hendak wujud??

Dari awal aku mencertiakan tentang budaya. Apa itu budaya? Budaya adalah tidak sama dengan tabiat dan keperluan harian. Contoh keperluan harian adalah makan dan berpakaian. Tabiat pula lebih kepada kebiasaan yang jika tidak dituruti tidak mengapa seperti tabiat minum di kedai kopi dan merokok. Budaya pula adalah sesuatu yang menjadi darah daging masyarakat dan secara tidak langsung menjadi rapat di hati masyarakat yang lama-kelamaan menjadi kebanggaan di suatu tempat. Budaya apa ada di Malaysia??Bila sebut sahaja budaya, kita hanya terbayangkan seni. Tidak sama sekali. Ini hanyalah budaya dari persepsi aku. Namun, budaya adalah sesuatu yang sukar diterjemah. Lihat sini.

Kejayaan Uruguay menjuarai Copa America serta tempat keempat Piala Dunia lalu jelas bertulang belakangkan BUDAYA. Lihat sini. Brazil yang telah sekianlama digeruni di kalangan penggiat bola sepak memiliki senario bola sepak yang cukup unik di sana. Bola sepak dimainkan di mana2 tidak mengira kawasan berumput atau tanah merah, berkasut atau tidak, bola mahal atau gumpalan kertas, bertiang gol atau tidak, dan bercampur jantina (yang Muslim tak bolehhhh okayyyy!!). Inilah negara yang membudayakan bola sepak!!

Berjayakah kita jika tidak membudayakan bola sepak?? Sudah tentu boleh. Lihat negara England dan Jepun. Jepun sentiasa memberikan saingan dalam setiap perlawanan dan terbaru pasukan wanita mereka mejuarai bola sepak piala dunia wanita. England pula sentiasa tersenarai dalam pusingan kedua dan suku akhir Piala Dunia. England membangunkan bola sepak melalui industri. Tetapi lihatlah perbezaan permainan England dan Brazil. Brazil didirikan daripada himpunan bakat. Di setiap penjuru pemain memiliki kemahiran. England hanya tampil dengan permainan moden yang memerlukan kepantasan dan bergantung kepada beberapa tonggak. Ini tidak sesuai diguna pakai untuk kejohanan besar kerana pemain pasti keletihan apabila menghadapi 3 4 perlawanan. Mereka juga kadangkala menghadapi krisis kecederaan tonggak. Pokoknya, hanya sukan terbudaya sahaja melahirkan bakat sejati.

Budayakan sukan terlebih dahulu. Tidak ada rugi sedikitpun. Biar rakyat Malaysia yang anti-sukan dilihat sebagai tabu dan aneh. Biar rakyat Malaysia yang tidak bersukan dianggap tidak bagus. Biar kita melihat orang yang tidak bersukan itu menjengkelkan. Ayuh, sedarlah Malaysia, kita perlukan budaya sukan. MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA!


Mat dan Yaqin. Semangat sudah ada. Contoh juga sudah ada, abang mereka hampir terpilih untuk mewakili daerah dalam sukan bola sepak. Namun cukupkah andai bakat tidak diasah semenjak kecil??

Bendera negara Jalur Gemilang begitu disayangi. Apa kelompok mentaliti, rendah mahupun tinggi, semua ingin melihat perkembangan sukan yang mapan di masa hadapan.

Tiada ulasan:

Survey!