klik!2

Ahad, 29 Mei 2011

Kisah Klasik Untuk Masa Depan (siri 3) : "Jalan Pilihan"

Sila rujuk Kisah Klasik Untuk Masa Depan Siri 1 dan 2

Sudah masuk minggu ke-2 cuti sekolah. Naufal dan Affan bersemangat untuk menjalani latihan pusat pasukan bola sepak sekolah mereka di kem tentera Batu 5. Minggu pertama sudah dihabiskan bersama keluarga dan menyelesaikan kerja rumah. Tambahan pula mereka baru dalam tempoh seminggu berpisah dengan rokok. Aktiviti seumpama ini dirasakan amat berguna untuk mereka mengisi masa seterusnya lari dari ketagihan merokok. Latihan ketenteraan yang dirancangkan jurulatih sedikit memberi tekanan kepada Affan yang sedikit gempal. Dia begitu bimbang gagal menamatkan sesi latihan 4 hari itu.

Pagi yang dingin masih kelam. Mentari belum lagi menunjukkan diri. Seawal jam 6.40 pagi Naufal dan Affan sudah sampai di perkarangan sekolah. Bas sudah tiba,enjin tidak dimatikan menandakan pada bila-bila masa bas akan bertolak. Ramai dikalangan pemain bola sepak sekolah duduk di bangku panjang di perkarangan padang perhimpunan sambil menanti baki peserta yang lain. Cikgu Rosdi selaku jurulatih belum lagi tiba. Kedengaran sayup-sayup gurauan mereka setelah seminggu tidak bertemu. Kadangkala tawa riang mereka memecah suasana sunyi pagi.

"woi gemok!!ko semayang subuh tak tadi????" Naufal sengaja meninggikan suara tatkala bertemu dengan Affan.

"Ape ke bangang laa soalan ko. Name pon orang Islam. Mistila semayang. Belajo Islam bukan main lame sejak tadika. Takkanla semayang dua rakaat boleh terkantoi" balas Affan selamba seperti syarahan mirip ustaz.

"ahahahahaaaa..dah kene ceramah plak laa aku pagi-pagi ni" Naufal mengeluh sambil ketawa.

"haaa,tau pon kau. Seterok-terok aku, aku kenal lagi laa siapa pencipta kita. Ape hak Dia kita perlu tunaikan. Hah!!nak aku sambung lagi??haha..." Affan sengaja mengusik Naufal lagi. Suka benar dia melihat rakannya tertunduk bosan dengan kerenahnya.

"cukupla gemuk..kau tu patut bimbang,latihan kita ni ala tentera. Kau boleh lepas ke??" Naufal sengaja menakutkan Affan.

"siape kate tak bimbang weh,aku melantak punye la banyak. Kalau tengahari tu mau dekat 5 pinggan nasik baru aku berenti. Berat dah dekat 90kg ni. Tapi dalam 3 4 hari ni aku ade la joging dalam 5-6kilometer. Kadang-kadang jumpa jugak mak ayah kau kat taman botanikal tu." balas Affan.

Sememangnya susuk tubuh Affan agak gempal semenjak selepas PMR. Dia begitu berselera dan sangat kemaruk dengan makanan.Namun begitu, kelibatnya di bahagian pertahanan tengah pasukan bola sepak sekolah amat ditagih. Bakat semulajadi semenjak kecil menjadikannya sangat mahir mengawal pergerakan penyerang lawan. Dia mampu membuat tafsiran awal pergerakan lawan dan banyak menggunakan akal ketika di padang. Kem ala tentera selama 4 hari ini diharapkan mampu mengubah tabiat pemakanannya dan akhirnya mengubah susuk tubuhnya agar lebih pantas dalam pergerakan.

Ubaidah menunjukkan isyarat ke tandas kearah Naufal dan Affan sambil jari telunjuk dan jari hantunya ditekapkan ke mulut. Naufal dan Affan faham bahawa itu isyarat dari Ubaidah mempelawa mereka menikmati rokok. Dengan senyuman mereka melambaikan tangan menandakan tidak mahu. Mereka kelihatan betul-betul nekad untuk berhenti.

"Kan sedap kalau dapat hisap rokok pagi-pagi macam ni" bisik Affan perlahan. Dia tahu apa yang bakal keluar dari mulut Naufal yang gemar menasihatinya. Tetapi sengaja dia mahu menguji kekuatan rakan karibnya itu.

"Jangan kau uji benda yang bukan-bukan. Duit aku tengah banyak ni. Setakat Dunhill 3 kotak pon aku boleh beli. Pastu aku bagi kau sekotak" Naufal membalas gurauan Affan dengan wajah serius. Akhirnya Affan seakan-akan termati dengan gurauan tadi. Dia tertanya-tanya sama-ada Naufal benar-benar serius.

"Betol ke kau nak beli? aku dah sangap ni." Affan semakin serius.

"Ahahahhahahaaaa....lahabau betol..harap badan je besar, gurau sikit mula la nak serius. Kau cuba la hisap rokok lagi, aku terajang kau lumat-lumat. Tiada lagi persahabatan." balas Naufal sambil ketawa terbahak-bahak.

"Cisss...tak gune betol member camni" bentak Affan menandakan dia kalah dalam gurauan.

Perjalanan 4 jam telah berakhir. Mereka ditempatkan di kawasan khemah. Beberapa pegawai tentera mengawal pergerakan mereka. Taklimat ringkas diberikan. Dalam taklimat ringkas tersebut antaranya dinyatakan larangan merokok dan juga kem bermula setengah jam dari waktu mereka diberi taklimat. Naufal,Affan,Ubaidah dan Azrul ditempatkan dalam khemah yang sama. Mereka tidak mempunyai masalah kerana masing-masing mengenali antara satu dengan lain sejak tingkatan satu. Cuma Ubaidah yang agak pendiam, mereka berempat serasi bersama.

Latihan hari pertama mereka sudah tamat. Larian ke puncak bukit setinggi 100 meter dan sejauh 6 kilometer di bawah satu jam amat memenatkan. Kemudian mereka meneruskan cabaran dengan dikehendaki melalui halangan-halangan termasuk berenang menyeberangi sungai. Latihan kawad kaki menutup petang mereka dan waktu malam dikosongkan bagi merehatkan otot-otot yang sudah keletihan.

Malam berlalu tenang. Para peserta dibiarkan membuat aktiviti sendiri. Terasa dingin malam amat tenang. Kawasan perkhemahan sebaliknya. Zaman remaja bagaikan tidak mahu dilepaskan begitu sahaja. Ada juga yang sudah melelapkan mata. Tidak kurang yang berkumpul diluar khemah.

"Semua berkumpul di sini!!, tangan ke atas kepala, 5 saat keluar dari kemah!" jerit pegawai tentera yang bertugas.

"Tangan di kepala!!!" tegasnya lagi apabila melihat seakan-akan ada yg cuba mengambil sesuatu.

Para pelajar sememangnya dapat mengagak itu adalah spot check. Setiap pergerakan tangan yang kecil amatlah senang dikesan 5 orang pegawai tentera itu kerana semua 25 orang pelajar harus meletakkan tangan di kepala. Jika ada yang cuba turunkan tangan mereka akan didenda.

"Pada hari esok, kita akan adakan latihan berat. Kamu semua diberi amanah untuk memikul beg seberat 30kg setiap seorang. Kamu akan lalui jalan hutan dengan hanya berbekalkan kompas. Plg awal boleh sampai dalam masa 5 jam. Jika tersesat mungkin berhari-hari. Jadi jimatkan tenaga. Sila tidur awal" ringkas ucapan pegawai tentera itu. Dalam pada itu, 2 anggota tentera yang lain sibuk memeriksa khemah mereka.

"Dan berita buruk untuk peserta khemah nombor 2. Kamu semua dikehendaki membawa beban sebanyak 50kg. Dan pada malam ini, kamu berempat dikehendaki mengawal tapak perkhemahan sehingga pagi!" pegawai tersebut menambah.

"Bukan khemah kita ke tu?" bisik Azrul.

"Rokok aku" Ubaidah dengan tenang membalas. Naufal dan Affan pula sudah mengagak dari awal. Mereka terpaksa akur. Ubaidah pula kelihatan agak kesal.

"Maafkan aku. Berat denda yang dia bagi. Walaupun hanya aku yang salah, korang tersangkut sekali" ujar Ubaidah penuh kekesalan.

"Menyesal pon tak guna. Aku takde masalah sangat. Bende dah nak jadi. Lagipon aku tahu ketagihan rokok tu macam mana rasanya. Tak mungkin kau akan tinggalkan rokok dalam kem 4 hari ni" balas Affan bg menenangkan Ubaidah.

"Ok tengkorak otak kau laaaa..dah la satu hari harini kita penat..malam ni tak boleh tido. Esok bawak beg 50kilo. Komando pon tak gini laaaa" Azrul tidak berpuas hati.

"Bukan masanya nak bergaduh. Cuba positif. Aku suka keadaan macam ni. Sekurang-kurangnya inilah yang menjadikan kita lebih rapat. Aku janji, kita akan tolong menolong esok. Kita group yang akan sampai paling awal" Naufal menenangkan Azrul.

"Aku tetap benci perokok. They're simply SHIT!!" Azrul membawa aura yang cukup negatif. Ubaidah hanya berdiam menahan amarah. Hendak melawan, kesalahan sememangnya berpihak kepadanya. Dia mencipta masalah.

"Kami faham Azrul. Betapa bencinya kau. Tapi untuk kali ini,tolonglah. Berdamai. Kita bergerak bersama. Aku tak suka pergeseran" Naufal agak tenang.

Baginya Azrul tidak salah. Ubaidah yang bersalah pun baginya boleh dimaafkan kerana dia pernah dibelenggu rokok sebelum ini. Dia betul2 mengharapkan keadaan jernih kembali.

"Salah aku. Maafkan aku sekali lagi. Kalau boleh,esok biar aku tanggung 20kg beban kau Azrul" ujar Ubaidah.

"70kilo untuk 5jam perjalanan??mati kau Ubai!!" balas Affan.

"Asalkan hati aku tak rasa bersalah" ujar Ubaidah ringkas. Azrul diam tidak mengangguk, namun tidak pula membantah.

Malam terus berlalu. Ramai sudah melelapkan mata. Azrul berkawal dengan Affan. Naufal pula dengan Ubaidah. Naufal sengaja memisahkan Azrul dan Ubaidah supaya Azrul dapat menyejukkan hati menjelang esok hari.

Ubaidah duduk di akar besar yang timbul. Naufal pula berbaring di kawasan sedikit berumput. Mereka bergelap tetapi amat sensitif dengan sebarang bunyi. Terkadang mata mereka meliar memerhatikan sebarang kemungkinan.

"Pai, hairan aku tgk kau. Solat tak tinggal. Walaupun hidup kau lebih kurang macam aku, kadang-kadang ada lakukan kejahatan. Tapi kau akan berhenti setiap kali diluar batasan. Kau macam pakai pelindung dosa" Ubaidah tiba-tiba menukar angin malam.

Naufal hanya ketawa kecil. Dia tidak menjawab. Hanya tersenyum.

"Kadang-kadang aku cemburu. Kau happy. Tapi aku selalu tak tenang. Tak pandai aku nak explain" tambah Ubaidah lagi.

"Sebenarnya, apa masalah kau Ubai..Cuba berterus terang dgn aku" Naufal tenang menangkap perbualan mereka.

"Macam ni..Aku tak perlu terangkan dengan jelas..Cukup dengan soalan ni" Ubaidah mula mempercayai kewibawaan Naufal yang dilihatnya sebagai kawan yg paling dihormati.

"Aku terdedah dgn dosa. Kawan-kawan sekeliling aku semuanya ahli maksiat. Mak ayah aku tak pernah marah dengan aku. Aku tak pernah hadapi masalah kewangan pun. Bagi aku, kalau nak bandingkan dengan orang-orang yg mak ayah diorang memang kaki masjid, berkawan pun hanya dengan kawan sekolah yang pandai-pandai dan tidak sosial, memang aku sangat terok. Tapi, boleh ke kalau aku cakap, aku dan orang lain tak fair?? Tak adil. Aku ada banyak cabaran. Manakala orang yang baik tu hidup terpelihara. Dah semestinya aku dalam neraka." Ubaidah berterus-terang dengan persoalan yang panjang lebar.

Naufal terdiam. Lama dia cuba berfikir. "Aku bukannya ustaz. Tapi Ubai, pertama dan terpenting, jangan anggap tak fair. Kerana secara langsung, kita meragui keadilan Allah SWT." Naufal membuka bicara.

"Ini dah lama bermain dalam jiwa aku Pai. Setiap kali aku tgk orang bersolat, bukan aku benci Pai. Tapi jiwa aku berkata, dia boleh laa.. Dia bukan macam aku. Aku jahat." luah Ubaidah lagi.

"Ubai. Jangan sesekali salahkan apa yang berlaku di sekeliling kita. Sebenarnya,kita lah yang memilih jalan yang kita lalui. Nabi kita dulu pun dikelilingi golongan jahiliah. Arak, wanita, riba bila-bila masa pun boleh. Tambahan pula, sebelum usianya 40, dia belum menjadi Rasul"

"Lihat betapa jahilnya Umar al-Khattab. Jahilnya sehingga sanggup menanam anaknya hidup-hidup. Dia juga dikelilingi rakan-rakan yang jahat. Namun, setelah hadirnya Islam dalam dirinya, dia antara 10 sahabat yang dijanjikan syurga. Mudah Allah SWT mengampunkan dosa. Bukan sedikit dosa Umar sebelum pengislamannya. Pernah dia menentang Nabi sekuat-kuatnya. Apa dosa kau Ubai??Kau pernah menghina Nabi kita??" Naufal dengan tenang menangkap minat Ubaidah dengan kisah ringkas yang dibawanya.

"Betul Pai. Aku tak patut salahkan Tuhan" Ubaidah mengakui sebelum ini jiwanya terus dan tetap mengatakan takdir untuknya ini adalah tidak adil.

"Istighfar Ubai. Allah itu maha pengampun. Tiada apa perlu dirisaukan. Past is past. Pilih jalan kau sendiri. Tinggalkan teman yang terus dengan jalan maksiat. Aku lihat sinar perubahan yang kau kejar" semangat terus ditiup Naufal. Dia cukup memahami kehidupan Ubaidah yang tidak terbatas.

Mereka terlelap juga akibat kepenatan. Setelah hampir subuh, Naufal bangun dan mencari Ubaidah. Dia tidak ada di sisinya. Alangkah gembira hati Naufal apabila mendapati Ubaidah sedang bersolat. Apabila didekati di kanvas besar yang terhampar khas untuk mereka bersolat, didapatinya Ubaidah sedang bermunajat sambil air matanya berjujuran jernih mengalir di pipi.

Dalam samar-samar cahaya fajar, Naufal amat gembira. Ubaidah yang sememangnya rapat dengannya kini akan bertambah rapat. Baginya, perubahan awal yang ditunjukkan Ubaidah mungkin pudar ditelan masa. Tetapi dia harus memainkan peranan bagi memastikan Ubaidah tidak hilang sokongan.

"Terima kasih Pai. Dah 4 5 tahun aku tak solat tanpa disuruh. Aku harap pagi ni merubah segalanya. Aku tak kuat. Aku bimbang aku lalai lagi dengan dosa" Ubaidah memeluk erat Naufal tanda terima kasih sambil menangis meluahkan perasaannya.

"Ini luar biasa Ubai. Percayalah, Allah yang sentuh hatimu. Berkawan dgn aku. Sentiasa dengan aku dan Affan. InsyaAllah Ubai." Naufal memberi semangat dan seterusnya melaungkan azan Subuh.

Ahad, 8 Mei 2011

Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem (1138-1193M)




Salam Hari Minggu..Semoga hari ini memberi manfaat kepada kita semua. Dijauhkan dari bala bencana dan terus menerima rahmat tuhan. Insyaallah. Aku baru habis baca sebuah buku bertajuk Salahudin Ayubi tulisan Abdul Latip Talib, keluaran PTS Litera Utama Sdn Bhd. Sebuah novel sejarah Islam. Terima kasih kepada Basyir Mansor si pemilik blog bertajuk "Tasik Fikir" kerana meminjamkan buku tersebut.

Kata Salahudin Bin Al-Ayubi, "Sesiapa yang menakluk Palestin, dia menguasai dunia". Inilah ungkapan masyhur dari insan hebat yang hanya mengharapkan keredhaan Allah dalam kehidupan.

Nabi Muhammad SAW meninggalkan kita semua pd tahun ke-11 hijrah (632 Masihi) dengan kekuatan Islam yang mengagumkan. Tetapi setelah wafat, perpecahan semakin ketara sehinggalah tentera salib merampas Jerusalem pada 15 Julai 1099dengan kekejaman. Salahudin al-Ayubi atau nama sebenarnya Yusuf, hanya dilahirkan 532 tahun setelah kemangkatan Rasulullah SAW. Beliau dilahirkan di Tikrit(Iraq) pada 543H (1138M). Kehadiran Salahudin Ayubi di persada tanah Arab amtlah dinanti-nanti oleh setiap ummat ketika itu. Bermula dengan mengetuai angkatan tentera Mesir, kemudian dilantik sebagai Perdana Menteri Mesir dan akhirnya menjadi Khalifah atau Sultan yang memegang pemerintahan ketika itu. Beliau berjaya memadamkan penguasaan Tentera Salib selama 80 tahun, mengembalikan kegemilangan Islam, menunjukkan peribadi muslim sejati yang amat disegani kawan dan lawan, serta berjaya menunjukkan kesucian Islam apabila mematuhi segala etika peperangan yang termaktub di dalam ajaran Islam.

Dalam Islam, seorang panglima perang berada di barisan hadapan apabila menghadapi peperangan, ini menunjukkan bahawa tanggungjawab terpikul di bahunya adalah besar. Tidak seperti yang diamalkan tentera Yahudi dan Barat pada waktu dulu dan masa kini di mana tentera suruhan akan diperalatkan di barisan hadapan sementara yang berpangkat tinggi hanya memebrikan arahan. Dan Salahudin seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu Shaddad bahawa "Di medan perang, Salahudin kelihatan seperti seorang ibu yang kehilangan anaknya". Sememangnya tepat sekali kerana beliaulah yang bertanggungjawab mengawal dan menjaga setiap tentera Islam di mana dalam setiap peperangan beliau pasti ke sana ke mari untuk mengambil berat setiap pasukan tentera Islam. Semangat juang menebal dan cintakan kematian amatlah digeruni musuh.

Antara yg menarik perhatianku adalah saat2 Salahudin menghadapi sakit. Beliau terlantar di rumahnya sehinggakan musuh menyangka dia telah mati. Berbekalkan semangat berkobar-kobar, dia bernazar kepada Allah SWT sekiranya dia kembali sihat, dia akan menawan Jerusalem. Akhirnya dia sembuh dan bangkit daripada pembaringan. Musuhnya diberitakan kembali gentar.

Diceritakan juga kebijaksanaan Salahudin Bin Ayubi dalam peperangan. Beliau seringkali menjadi arkitek peperangan dan memimpin kemenangan sama ada melalui pertumpahan darah atau jalan kedamaian. Setiap helahnya amat sukar dibaca musuh. Pelbagai taktik dan cara ajaran Nabi Muhammad dipraktikkan yang menjadikan buku ini MESTI DIBACA. Politik dunia arab yang serba sedikit ditonjolkan penulis secara tidak langsung membuka pemikiran kita terhadap realiti politik sebenar dunia. Pembelotan, siri rasuah, peranan golongan munafik, bersekutu dengan tentera musuh, serta pengkhianatan seringkali menjadi duri dalam daging perjuangan Salahudin. Namun akhirnya dengan ilmu yang mantap, Salahudin akhirnya mencapai kemuncak kejayaan apabila pada 15 Oktober 1187 beliau berjaya menawan Jerusalem dengan cara yang cukup terhormat.

Dapatkan buku ini untuk mengenali Salahudin Al-Ayubi dengan lebih dekat.

Sabtu, 7 Mei 2011

Kisah Klasik Untuk Masa Depan (siri 2) : "Aku Pilih Babi"


Usai mengerjakan solat Subuh, Naufal bingkas menerkam katilnya. Baginya, sesi persekolahan yang berlangsung selama 5 hari amat meletihkan dan inilah masanya untuk dia menggantikan tidurnya.

Ketika awal pagi ini, ayah dan emaknya sudah sampai di taman botanikal untuk melakukan senaman dan berjoging.

"Ayah tinggalkan adik-adik dengan Pai, semua dah solat Subuh, Pai bangun ye..Nanti terlucut pula waktu" kata Encik Nazmi kepada anaknya yang terlalu mamai sebelum dia keluar tadi.

Tidur Naufal tidak lagi lena. Terasa segar dan begitu bermotivasi sekali. Cuti 2 minggu tidak mahu disia-siakannya.

Dia bingkas bangun dari lamunan dan mencari bungkusan berwarna merah di dalam beg sekolah lusuhnya sebelum menuju ke bilik mandi. Dilihatnya adik-adik masih tidur dengan nyenyak. Sebatang rokok dikeluarkan dan dinyalakan setibanya di bilik air. Asap meresap masuk melalui mulut, menuju paru-paru mudanya melalui trakea. Penyatuan monoksida dengan hemoglobin di dalam paru-paru mengangkut kandungan nikotin ke jantung seterusnya mempengaruhi otaknya menjadikan dialah manusia paling tenang di muka bumi.

Asap berlebihan dihembus tenang berkepul-kepul melalui mulut dan sedikit melalui rongga hidungnya. Dia seolah-olah mencipta definisi ketenangan itu dengan menipu dirinya sendiri walaupun sudah mengetahui kesan buruk akibat merokok. Baginya satu keseksaan tanpa rokok dan satu peringkat keseronokan tertinggi bila dipengaruhi nikotin.

Sebelum menghabiskan sedutan terakhir, dia sempat berfikir bilakah dia akan mampu berhenti dari tabiat buruknya itu. Bukan tidak pernah dimarahi ayah dan emaknya, namun dia seakan-akan sudah lali.

Baginya, dia mengikut pandangan ulamak yang menyatakan hukum itu hanyalah makruh di sisi agama.

"Mungkinkah itu hanyalah helah bela diri? Bagaimana sekiranya hukum merokok benar-benar haram?"bentak hatinya. Masih segar di ingatannya ketika kali pertama berkenalan dengan rokok semenjak 2 tahun lalu. Suatu peristiwa yang nyata merubah perjalanan hidupnya.

"Pai, balik sekolah ni kau tunggu aku di pagar belakang sekolah" pesan Affan sebelum kelas sesi terakhir bermula.

Naufal hanya bersetuju dan menantikan detik itu. Kerana baginya Affan seorang sahabt yang penuh denga kejutan. Bukan sekadar seorang teman yang benar-benar rapat dan supportif, tetapi juga merupakan seorang yang amat baik hati walaupun kadangkala cukup nakal dalam menghelah rakan-rakan.

Waktu yang dinantikan telah tiba.

"Ke mana kita harini Pan? misti kau nak ajak aku memancing kat sangkar ikan patin Haji Udin lagi kan?? kalau yang tu aku surrender.. kau pegi sorang!! aku tak sanggup lagi dimaki orang tua tu" gurau Naufal.

"Hahaa..mane ade..itu pun bukan sengaja, dah berjam-jam kita mengail, seekor pon tak lekat..itu yang aku cadangkan plan B time tu..kahkahkah..dekat setengah guni jugak hasilnya kan?" kata Affan sambil ketawa.

"kali ini aku ada plan baek punya..ayuh follow aku" ajak Affan sambil mereka berjalan menuju kawasan belukar di belakang kawasan sekolah.

Terkejut bukan kepalang Naufal apabila mendapati rakan seusianya berusia 15 tahun sudah pandai menghisap rokok.

"Kau tak nak try ke? kite kan lelaki..harus berani" pelawa Affan kepada Naufal.

Dia mengetahui rakannya itu pantang dicabar. Jarang sekali Naufal beralah andai ada yang cuba mengusik maruahnya. Namun dia tetap bimbang kerana dia juga sangat mengetahui ketaatan Naufal kepada ayah dan emaknya.

Naufal nyata kecewa dengan tindakan rakannya itu. Namun dia terus berasa tercabar oleh pujukan rakannya.

"Benda ni bukan bahaya sangat pon. Ramai je lagi yang hidup walaupun dah bertahun-tahun hisap. Setengah jam lagi bau pun hilang, jangan bimbang dengan mak kau. Balik ni kau mandi lah. Gosok gigi" Affan terus mengatur bicara.

Baginya, keseronokan yang dikecapinya harus dikongsi bersama dengan rakan baiknya itu. Walapun dia sedar, bakal kehilangan kepercayaan oleh rakan karibnya sejak kecil.

Naufal memberanikan diri. Dia nyata tidak tahan dipandang rendah oleh Affan. Dia menarik sepuntung tembakau bersalut kertas putih dan berpuntung coklat muda. Api dihidupkan. Dia cuba menyedut tetapi dadanya sesak dan terbatuk-batuk.

"aahahahhaaa..tak jantan langsung, kau tengok aku, cool" ejek Affan sambil meniupkan asap putih ke muka Naufal.

Naufal terus mencuba kerana pantangya mengaku kalah. Sifat yang menjadikannya seorang anak Melayu sekolah yang mampu menembusi dominasi kaum Cina di pentas penganugerahan di majlis penyampaian hadiah.

Hasilnya, dia pening dan muntah-muntah. Dia tidur selama 2 jam di bangku kantin sekolah sebelum pulang ke rumah kerana sangat loya.

Sambil itu, Affan terus mentertawakannya rakannya itu. Selang beberapa minggu, mereka semakin serasi dengan rokok dan telah menjadi tabiat. Keseronokan dikongsi bersama.

Api telah hampir ke puntung rokok, Affan menyedut tembakau kali terakhir sebelum membuang ke dalam mangkuk tandas. Usai merokok, dia terus mandi dan membersihkan diri.

Pagi cuti pertama yang perlu dinikmatinya. Macam-macam bersarang di kepalanya, samaada ingin memancing, melayani adik-adik, menonton wayang, menziarahi atuk dan nenek, atau bersosial dengan Affan dan rakan-rakan lain.

Selesai menyiapkan diri, dia terbaca mesej ringkas di telefon bimbitnya. Agak panjang pesanannya "Suria tahu, Affan dan Naufal perokok. Bukan nak larang, tapi nak beritahu. Pak Cik Zainal baru sahaja meninggal dunia pukul 6 pagi td. Kanser paru-paru. Jenazah masih fresh, datanglah ke rumahnya kalau nak ziarah.lagipun apa salahnya tengok masa depan korang.Salammm..."

Suria merupakan jiran kepada Pakcik Zainal. Bekas pekebun sekolah mereka. Sudah 6 bulan Pak Cik Zainal menderita kanser.

"kurang ajar sungguh Suria ni. Macam ini ke nak sebarkan berita kematian" merah padam muka Naufal menahan bengang sambil berfikir bagaimana cara hendak membalas mesej Suria. Tetapi lama-kelamaan, dia mula dapat terima nasihat keras daripada junior yang diminatinya itu. Dia mengambil keputusan tidak membalas mesej itu.

Telefon bimbitnya berbunyi lagi, kali ini mesej daripada "gemok", nama yang terpapar di skrin telefonnya merujuk kepada Affan.

"Sungai Semantan, pukul 8.30, umpan aku dah cari. ade bran??" tersengih Naufal membaca mesej ringkas itu lantas dia membalas "ok".

Dia berisap sedia dengan peralatannya. "Wahai joran-joran sakti, mengenalah kau kali ni, aku tak rela tewas dengan Affan lagi" bisiknya kecil ketika meletakkan set memancingnya di raga motosikal.

Dia harus ke kedai untuk mendapatkan barangan lain seperti mata kail, timah ladung, tali tangsi dan pin untuk simpanan. Kadangkala aktiviti memancing mereka akan berlanjutan sehingga 30minit sebelum masuknya waktu Asar. Jadi die perlukan banyak peralatan spare untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Ayah dan emaknya sudah pulang dan Naufal meminta izin serta bergegas keluar dengan motosikalnya.

Di kedai alatan memancing, dia membeli segala keperluan dan akhir sekali membeli sebungkus rokok di kaunter untuk bekalan sepanjang waktu memancing. Mereka bertemu di tempat yang dijanjikan. Masing-masing tidak sabar dan terus memasang umpan udang di joran masing-masing dengan harapan disambar raja sungai. Umpan dilabuhkan dan mereka berdua beradu nasib.

"Rezeki tuhan dah tulis. Tapi aku yakin, tuhan syaang aku lebih. Kau tak mandi pagi...haha" gurauan Affan memecah suasana pagi.

"ishh..memandai je kau, nak buat joke tak payah la sebut benda yang sesat, main-mainkan nama tuhan, karang aku ceramah kau, kau tarik muke burok plak" balas Naufal..

"alaaa..rilek laaa...ok aku buat joke educated pasni..hehe" pujuk Affan kembali.

"Pai, Pakcik Zainal dah takde" beritahu Affan...

"Aku pun ade dengar, gerun aku dengar cerita mak aku. Dia yang bertugas uruskan Pakcik Zainal sebelum arwah pergi..Sempat juga la arwah sendiri pesan supaya memusuhi rokok. Beria benar mak marahkan aku..Panjang dia ceramahkan aku..Aku ingat aku nak berhenti merokok la Pai" luah Affan sejujurnya.

"Mak kau mungkin dah lali tgk org sengsara kerana rokok, dah bertahun dia kerja di hospital tu. Aku rasa harapan mak ayah kita cukup tinggi untuk kita penuhi. Mereka sayangkan kita Pan" Balas Naufal.

"Betol Pai, aku serius kali ni. aku nak berhenti..mak aku ceramah aku pg tadi,kau nak tau?" sambung Affan sambil meneliti joran-jorannya.

"Affan, ini rokok. Dan anggap lighter ni daging babi. Bagi kata putus dengan ibu. Affan pilih yang mana??" Puan Ida memberi pilihan kepada Affan sambil meletakkan kotak rokok dan lighter di atas meja.

Mereka berhadapan. Puan Ida cukup tenang. Dia tahu menggayakan hati anaknya. Affan terdiam lama. Dia tidak dapat menangkap apa di fikiran ibunya. Dia gelak kecil dan membuat keputusan.

"Affan pilih rokok" jawab Affan ringkas.

"Oh, kalau begitu, ibu pilih daging babi" jawab ibunya.

"Ibu nak buat apa dengan daging tu? Bukan ada manfaat pun. Malah haram kita memakannya" soal Affan dengan nada sedikit menekan.

"Affan, buka minda, tenangkan diri..Affan sudah di peringkat ketagihan. Jiwa akan sentiasa meronta tanpa nikotin. Dan Affan akan sentiasa mempertahankan pendirian tanpa ingin mendengar kebenaran! Dengar sini baik-baik" balas Puan Ida.

Cukup tenang dia menawan jiwa muda anak sulungnya walaupun dia akur dia telah gagal menghalang kenakalan remaja anaknya dek kesibukannya bekerja.

"Affan yakin memilih rokok, sedangkan Affan tahu ulama di Indonesia telah memfatwakan haram merokok. Kita di Malaysia pula sedang dalam peringkat kajian Majlis Fatwa Kebangsaan. Dan menyandarkan rokok kpd makruh ertinya lebih kepada haram" terang ibunya.

Affan terdiam lesu tanda tidak berpuas hati. Namun dia cuba menerima.

"Ibu pilih daging babi..cuba Affan bayangkan, kita tersesat di hutan, ataupun negara kita dalam situasi perang. Ibu ada daging babi, dan Affan pilih rokok. Di waktu darurat, daging babi ini akan jadi halal jika tiada lagi makanan lain boleh kita dapati. Malah ibu dapat menyambung hayat dengan bekalan protein yang cukup. Tetapi rokok???tetapp...tetap hukumnya haram Affan..Affan nak hisap rokok dalam keadaan kelaparan?? Atau ingin teruskan hidup??" terang Puan Ida. Affan terdiam lesu.

"Banyak sangat ke duit Affan??Rm 10 untuk sehari..Affan dikira membazir, tidak takut kah Affan dengan tuhan?membazir itu kan saudara syaitan..lagipun, adil ke kalau Affan belanjakan Rm 10 untuk rokok sehari, tetapi si miskin dan fakir berhempas pulas untuk mendapatkan Rm10. Sepatutnya Affan dermakan kepada mereka..Lihat, Allah menguji harta kita..Dan Affan tewas" terang Puan Ida lagi.

Dia betul-betul berharap kali ini. "Ibu beri peluang, berhenti dalam tempoh seminggu, atau Ibu tidak tenang untuk selamanya" Puan Ida menamatkan perbualan dan beredar.

"Betol cakap ibu kau Pan" sahut Naufal sambil mengelurakan sebungkus rokok yang belum berbuka sesudah Affan tamat bercerita.

"Amalan membazir ini amat dilarang Allah hingga orang yang membazir itu disamakan dengan saudara syaitan. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya" (Surah al-Isra', ayat 27). " Naufal mengeluarkan ayat al-quran yang diingatinya. Lalu diramas-ramas bungkusan rokok yang baru dibelinya. Dia lantas mengeluarkan telefon bimbitnya dan membalas mesej Suria "kami sudah berhenti".

Jumaat, 6 Mei 2011

Bahagia Untukmu

Sepanjang minggu beliau bekerja keras mencari nafkah demi memastikan aku adik-beradik tidak tenggelam dalam arus kemodenan dunia. Makan pakai kami sentiasa cukup walau tidak diajar kemewahan. Teristimewa, beliau akan pastikan hari minggunya berada di meja makan bersama kami....Walau dia jauh beribu batu, dia tetap usahakannya. Untukmu Abah, kudoakan kemudahan dan kelapangan dalam kehidupan.

Sepanjang minggu beliau mengajar muridnya dgn harapan kami semua menerima ilmu sebagaimana dia ajarkan kpd muridnya. Beliau akan tersenyum walau dilanda musibah, melangkah walau dibelenggu ujian Allah. Teristimewa, beliau umpama panglima perang yg mengawal setiap pergerakan tenteranya dalam melindungi kami daripada tersesat jalan dunia dan akhirat. Untukmu Ummi, kuberjanji hidupmu tidakkan susah di hari muka.

Setinggi-tinggi penghargaan, doaku tidak lengkap tanpa mengharapkan belas ihsan Allah terhadapmu, Ummi dan Abah.


aku pon x pasti nape mlm ni berlalu sayu.terflashback satu per satu pengorbanan mereka.aku khuatir tak dapat bg semua yg mereka bg kat keluarga yg aku bakal bina.dlm ms yg sama,sangatttt kuatir x dapat balas jasa setimpal dgn apa yg mereka berikan.aku jarang sekali titskan air mata.mungkin tidak mengapa kali ini.Allah tenteramkan hatiku.amin.

Ahad, 1 Mei 2011

Hijrah..Cemboy is Coming to JayBeee~

Salam to all! Selamat menyambut hari buruh 1 mei 2011. Nikmati cuti anda,buat sekurang-kurangnya satu aktiviti yang benar-benar berfaedah:)

Telah masuk bulan Mei untuk tahun ini. Setiap bulan dengan azam baru kan bagus. Tak perlu tunggu setiap 1 Januari atau 1 Muharram. Bulan ini wajib cemerlang daripada bulan2 yang telah lalu. Dan dengan kesempatan ini, saya ingin berkongsi kegembiraan dan keterujaan untuk memasuki fasa baru kehidupan, menetap di Johor Bahru.

Mengapa begitu teruja?? Biasa mungkin bagi anda. Tetapi amatlah berharga andai penghijrahan ini menjadi realiti. Jauh perjalanan, indah pemandangan, luas pengalaman. Sudah sememangnya menjadi keghairahan bagiku untuk melihat dunia. Sementelah beberapa penghijrahan sebelum ini benar-benar mengubah budayaku. Siri-siri penghijrahan sebelum ini bagaimanapun tidaklah begitu memberi kesan kerana aku masih bersama keluarga. Tetapi kali ini aku akan mula menempuh hidup sendiri. Sesi Latihan Industri selama 6 bulan bermula 15 Jun depan bakal mengubah budaya hidupku lagi.

Aku dilahirkan di Temerloh, berhijrah ke Kuantan ketika berumur 6 tahun, kemudian pulang ke kampung halaman ketika berusia 12 tahun. Pada usia 13 tahun, aku berhijrah lagi ke Wilayah Persekutuan Labuan sehingga umurku 19 tahun. Aku pulang ke Temerloh selepas tamat matrikulasi pada 2007 dan menghabiskan 4 tahun di Gambang. Dan pnghijrahan paling meninggalkan kesan adalah untuk bersama masyarakat Borneo di WP Labuan. Masuk ke dalam budaya mereka serta menjalani kehidupan bersama-sama. Dan dari pengalaman-pengalaman inilah lahirnya blog yg bersandarkan kepada pengalaman ini. Tempat baru menjanjikan sesuatu yang menarik. Dan aku sangattttt teruja dengannya;) Untung sabut,timbul..Untung batu, tenggelam. Timbul atau tenggelamnya aku,aku tidak kisah. Kerana indahnya hidup di sana nanti adalah bonus, jika sengsara sekalipun hidup di sana, itu akan menjadi pengalaman yang cukup mahal!

Jangan tidak tahu, Johor Bahru adalah sebuah bandar raya "kedua terbesar selepas Kuala Lumpur". Dengan penduduk melebihi 1 juta dan nadi ekonominya berpaksikan perdagangan, pelancongan, perindustrian, dan industri sokongan, tentunya sangat mencabar. Kedudukan geografinya yang berdekatan dengan Singapura menjadikannya penyumbang terbesar dalam industri pelancongan negara iaitu sebanyak 60%. JayBee, aku dah tak sabar lagi;p

Mungkin kesibukan kerja menghalang aku daripada menyelusup masuk ke dalam masyarakat, tapi sekurang-kurangnya berjemaah di masjid pd setiap waktu solat juga dikira bersama masyarakat. Pasti ada bezanya dgn tempat aku. Dan perbezaan atau keunikan itulah yang aku cari. Aku suka melihat dunia. Azam aku suatu hari nanti aku nak menjelajah seluruh dunia..Dan JAYBEE adalah permulaan;)

Anda di bawah tempurung???rugi!



Gambo smejid negri joho aku rembat kat gugel;pppp

Survey!