klik!2

Khamis, 10 Jun 2010

Tamat Semester 6

Assalamualaikum buat warga maya. 10 Jun 2010, pagi Khamis yang dingin di Kuantan. Baru sahaja selesai meneliti senario politik tempatan dan dunia. Juga merasai kehangatan laporan-laporan perkembangan Bola Sepak Piala Dunia 2010 Afrika Selatan. Masih di UMP sebagai pelajar. Sesekali tertekan apabila belum lagi bercuti sebagaimana rakan-rakan lain.

Semester lalu,selesailah sudah 3 tahun pengajianku dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam. Bererti berbaki 2 semester atau setahun untuk menamatkan pengajian. Jatuh bangun, lulus gagal, duka gembira, tekanan dan kegusaran sebagai pelajar kini tinggal selangkah untuk ditamatkan.

Imbas kembali semester lalu, nyata aku hanyut tatkala memerlukan komitmen yang tinggi untuk menamatkan pengajian dalam masa yang ditetapkan. Bermula dengan masalah peribadi, serangan gout di pertengahan semester, kegagalan mendapat markah memuaskan dalam ujian-ujian, sehinggalah kekalutan ketika projek khusus, nyata menyentap semangatku untuk terus memberikan yang terbaik pada peperiksaan akhir. Namun kubulatkan tekad untuk tidak berputus asa, terus dengan apa yang ada. Akhirnya kejayaan memihakku. Syukur kepada Allah, dengan bantuan dan kehendakNya jualah yang memastikan aku masih di sini. Memburu impian.





Satu perkara yang nyata membuatkan aku tersenyum puas pada semester lalu adalah kejayaan menurunkan berat badan sebanyak 20kg menjadikan berat terkiniku 102kg. Masih lagi tinggi berbanding berat ideal, tetapi kejayaan ini nyata mengubah hidupku. Tiada lagi letih lesu, malah aku lebih bertenaga dan cergas untuk menjalani aktiviti harian. Kini aku meletakkan sasaran baru untuk mencapai 85kg menjelang Syawal nanti.





PSM. Projek Sarjana Muda. Projek penyelidikan yang aku jalani sedikit sebanyak mematangkan aku. Dalam kepayahan aku bernafas. Mengasah pengalamanku untuk merencana kerja. Walau kerap kali mengalami kesukaran. Cutiku terkorban. Masa riangku dihimpit bebanan. Biar sungutan kerapkali lahir dari mulut, namun hatiku teguh menyiapkan tugasan ini. Jangan disangkal komitmen kucurahkan. Kerana ini kuanggap ibadah.





Untuk semester akan datang,aku mengharapkan satu keajaiban. Kerana inilah semester yang menentukan bila akan bergraduasi. Andai lepas, aku akan menyertai rakan2ku. Sekiranya tidak, bermakna tiada gambarku ketika mereka menjulang ijzah. Hanya memberi ucapan tahniah di laman Facebook tanpa menerima kembali ucapan tahniah. Namun itu kuanggap kecil, berbanding menghancurkan harapan org tua untuk melihat aku bergraduasi pada masa ditetapkan. Mereka tidak paksa, mereka tahu tahap kebolehanku. Tetapi aku tidak mahu lagi mengecewakan mereka.

Tamat semester 6.




Ketika berjaya menamatkan larian ke Bukit Sulai.

Berenang menjadi aktiviti harian dalam usaha menurunkan berat badan.

Survey!