klik!2

Khamis, 18 Disember 2008

PENGALAMAN : UJIAN ALLAH DALAM PELBAGAI BENTUK

Pernahkah anda merasa lapang, senang hati, gembira, mendapat durian runtuh atau mencapai kecemarlangan dalam bidang yang anda ceburi? Sebaliknya, pernahkah anda ditimpa kesempitan kewangan, dihinggapi penyakit, meghadapi kekecewaan yang amat dahsyat, sehinggakan anda jatuh terjelepuk tanpa mampu bangkit walau untuk mengubah posisi. Kesenangan datangnya dari Allah untuk melihat sejauh manakah kesyukuran kita kepadaNya manakala kesempitan yang diberi sememangnya untuk menguji sejauh manakh kesabaran kita dalam menghadapi segala ujian yang pastinya akan menjanjikan ganjaran yang sangat berharga di akhirat kelak.

GOUT..pengalaman paling ngeri dalam hidup aku. Sesuatu yang benar-benar mengubah haluan hidup aku. Aku terpaksa mengubah corak pemakanan, mengubah cara berfikir, melatih kesabaran, memastikan hati aku cekal dalam mencapai sesuatu, meninggalkan sukan yang aku minati, bersenam dengan cara yang paling selamat, dan yang paling menyedihkan ialah melibatkan masa depanku iaitu aku terpaksa belajar dengan baik ketika aku sihat supaya cita-cita aku tercapai satu hari nanti.

Bermula ketika menuntut di Kolej Matrikulasi Labuan pada Julai 2006, aku tidak pernah menyangka penyakit yang menyerang golongan 40an ke atas ini menjengah ketika aku berusia 18 tahun. Denyutan kuat di sendi tumit setiapkali jantung berdegup menemani malam yang tanpa sesaat pun memberi peluang aku melelapkan mata. Ketika itu baru terasa betapa besarnya nikmat tidur kurniaan Allah yang selama ini jarang aku syukuri. Doktor pertama yang merawat aku hanya menjangkakan aku menghadapi sakit urat yang biasa, namun setelah 4 hari,semakin teruk dan merebak sehingga seluruh kaki membengkak. Setelah berjumpa dengan doktor klinik swasta dan menjalani ujian darah, ternyata bacaan asid urik aku terlampau tinggi. Sukar dipercayai, namun hakikat pahit itulah yang terpaksa aku bawa sehingga hari ini.

Bermula dengan kekerapan rendah, sebulan sekali, kini penyakit ini mampu menyerang aku seminggu sekali. Dan ketika ini, aku baru bangkit dari kesakitan yang terpaksa aku tanggung selama 27 hari. Namun, hakikatnya adalah aku terpaksa bergantung kepada steroid. Bukan aku sengaja menempah keadaan sebegini. Sedaya upaya aku menjaga pemakanan, pelbagai ubat-ubatan tradisional dan moden aku cuba, rawatan Islam, pakar akupuntur Cina, dan pelbagai lagi rawatan dalam tempoh 2 tahun ini. Namun, masih belum menemui penawar yang terbaik. Kini aku hanya mengharapkan ubat Colchicine dan Allopurinol yang menjaga tahap asid urik dalam badan, dan dalam masa setahun ini juga aku akan berusaha menurunkan kandungan asid urik.

Perancangan masa depan aku telah terencat. Aku tidak boleh menyalahkan sepenuhnya kepada keadaan, namun kekurangan ini telah nyata membunuhku. Keputusan exam sem 3 betul-betul menekan aku. Namun, mungkin jalan ini adalah terbaik untukku. Terpaksa membawa haluan sendiri dan terpisah dengan rakan-rakan seperjuangan untuk sem akan datang. Inilah jalan yang tertulis. Aku menerima dengan terbuka.

Dan bagi aku,saat inilah aku harus bersabar dengan ujian-ujian ini. Jangan sesekali bersangka buruk terhadap ketentuan Allah. Kerana disebalik setitis kekecewaan ini, terselit segunung kurnianNYa andai kita bersabar.

*sebarang cadangan untuk rawatan penyakit ini adalah amat dialu alukan..

Tiada ulasan:

Survey!