klik!2

Rabu, 31 Disember 2008

SELAMAT TINGGAL 2008

Assalamualaikum..
1429 Hijrah sudah sudah 3 hari berlalu.3 muharam hari ini bersamaan 31 disember 2008.untuk anda semua, selamat menjalani 1430H dan 2009M dgn penuh kecemerlangan.sememangnya di malaysia ini kita lebih sinonim dengan kalendar masihi yang lazimnya dikenali sebagai 'kalendar orang putih'.namun, kalendar hijrah yang mempunyai kelebihan dan sejarah yang tersendiri tetap digunakan dalam masyarakat kita.
aku memilih tajuk kali ini dengan menggunakan tahun masihi 2008 bukanlah kerana mengagung-agungkan kalendar barat,tetapi sistem corak kehidupan yang sudah sebati dengan kalendar masihi sejak mula persekolahan menjadikan tahun baru 2009 adalah permulaan yang sangat dinanti-nanitkan.namun, tahun baru hijrah jika dihayati dan diletakan keazaman bersandarkan peristiwa hijrah Rasulullah SAW semestinya akan memberikan impak yang begitu mendalam kepada kita lebih-lebih lagi dari aspek kerohanian.

kepentingan kedua-dua sistem kalendar ini tidak dapat dipertikaikan meskipun dari sudut sejarahnya, kalendar masehi diagung-agungkan oleh pengikut ajaran kristian yang mengatakan 1 januari adalah hari kelahiran jesus christ atau nabi Isa AS. namun,timbul pula kekeliruan mengenai tarikh sebenar kelahiran Nabi Isa AS dan kontroversi sistem kalendar masihi ini.

Allah berfirman yang membawa maksud: "Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya." (Surah Yunus, ayat 5)

daripada ayat di atas,jelas bahawa yang menjadikan kedua-dua sistem tersebut ialah Allah SWT yang pada setiap ciptaannya tiada yang sia-sia.maka,tidaklah haram kita menggunakan sistem kalendar barat ini asalkan tidak terikut-ikut dengan cara sambutan tahun baru sepertimana yang diamalkan mereka.kepentingan kalendar ini juga tidak dapat dinafikan kerana penetuan musim yang empat,pergerakan angin monsun,dan sebagainya menjadi panduan kepada bidang pertanian,perkapalan dll.

(unutk maklumat lanjut mengenai takwim,sila lawati http://ms.wikipedia.org/wiki/Takwim_Hijrah dan http://halaqah.net/v10/index.php?topic=1293.0)

bagi aku,tahun 2009 sememangnya dinanti-nantikan untuk memulakan kehidupan baru.azam tiap-tiap tahun baru yang sudah basi tentunya ingin menurunkan berat badan.manakan tidak,kegemokan yang dialami sejak berumur 8 tahun sehinggalah sekarang bererti 13 tahun azam yang sama masih belum tercapai.kecuali pada tahun 2003,tahun-tahun yang lain pastinya diakhiri dengan berat badan yang meningkat.apapun,goodluck untuk diri aku sendiri!!

kecelaruan pelajaran pada tahun 2008 tentunya ingin cepat dilupakan. justeru,tahun dan semester baru ini kuharap akan memberikan sinar kejayaan.bukan unutk diriku sendiri,tetapi juga rakan-rakan seperjuangan.

akhir sekali dan juga paling penting,tentunya memperbaiki hubungan dengan Allah SWT.keazaman ini sudah pasti memberikan kejayaan yang amat besar dan memberikan kesan kepada jiwa dan mental.semoga Allah memberkati 1430H dan 2009M kepadaku dan anda semua.

Selamat tahun baru!

Khamis, 18 Disember 2008

PENGALAMAN : UJIAN ALLAH DALAM PELBAGAI BENTUK

Pernahkah anda merasa lapang, senang hati, gembira, mendapat durian runtuh atau mencapai kecemarlangan dalam bidang yang anda ceburi? Sebaliknya, pernahkah anda ditimpa kesempitan kewangan, dihinggapi penyakit, meghadapi kekecewaan yang amat dahsyat, sehinggakan anda jatuh terjelepuk tanpa mampu bangkit walau untuk mengubah posisi. Kesenangan datangnya dari Allah untuk melihat sejauh manakah kesyukuran kita kepadaNya manakala kesempitan yang diberi sememangnya untuk menguji sejauh manakh kesabaran kita dalam menghadapi segala ujian yang pastinya akan menjanjikan ganjaran yang sangat berharga di akhirat kelak.

GOUT..pengalaman paling ngeri dalam hidup aku. Sesuatu yang benar-benar mengubah haluan hidup aku. Aku terpaksa mengubah corak pemakanan, mengubah cara berfikir, melatih kesabaran, memastikan hati aku cekal dalam mencapai sesuatu, meninggalkan sukan yang aku minati, bersenam dengan cara yang paling selamat, dan yang paling menyedihkan ialah melibatkan masa depanku iaitu aku terpaksa belajar dengan baik ketika aku sihat supaya cita-cita aku tercapai satu hari nanti.

Bermula ketika menuntut di Kolej Matrikulasi Labuan pada Julai 2006, aku tidak pernah menyangka penyakit yang menyerang golongan 40an ke atas ini menjengah ketika aku berusia 18 tahun. Denyutan kuat di sendi tumit setiapkali jantung berdegup menemani malam yang tanpa sesaat pun memberi peluang aku melelapkan mata. Ketika itu baru terasa betapa besarnya nikmat tidur kurniaan Allah yang selama ini jarang aku syukuri. Doktor pertama yang merawat aku hanya menjangkakan aku menghadapi sakit urat yang biasa, namun setelah 4 hari,semakin teruk dan merebak sehingga seluruh kaki membengkak. Setelah berjumpa dengan doktor klinik swasta dan menjalani ujian darah, ternyata bacaan asid urik aku terlampau tinggi. Sukar dipercayai, namun hakikat pahit itulah yang terpaksa aku bawa sehingga hari ini.

Bermula dengan kekerapan rendah, sebulan sekali, kini penyakit ini mampu menyerang aku seminggu sekali. Dan ketika ini, aku baru bangkit dari kesakitan yang terpaksa aku tanggung selama 27 hari. Namun, hakikatnya adalah aku terpaksa bergantung kepada steroid. Bukan aku sengaja menempah keadaan sebegini. Sedaya upaya aku menjaga pemakanan, pelbagai ubat-ubatan tradisional dan moden aku cuba, rawatan Islam, pakar akupuntur Cina, dan pelbagai lagi rawatan dalam tempoh 2 tahun ini. Namun, masih belum menemui penawar yang terbaik. Kini aku hanya mengharapkan ubat Colchicine dan Allopurinol yang menjaga tahap asid urik dalam badan, dan dalam masa setahun ini juga aku akan berusaha menurunkan kandungan asid urik.

Perancangan masa depan aku telah terencat. Aku tidak boleh menyalahkan sepenuhnya kepada keadaan, namun kekurangan ini telah nyata membunuhku. Keputusan exam sem 3 betul-betul menekan aku. Namun, mungkin jalan ini adalah terbaik untukku. Terpaksa membawa haluan sendiri dan terpisah dengan rakan-rakan seperjuangan untuk sem akan datang. Inilah jalan yang tertulis. Aku menerima dengan terbuka.

Dan bagi aku,saat inilah aku harus bersabar dengan ujian-ujian ini. Jangan sesekali bersangka buruk terhadap ketentuan Allah. Kerana disebalik setitis kekecewaan ini, terselit segunung kurnianNYa andai kita bersabar.

*sebarang cadangan untuk rawatan penyakit ini adalah amat dialu alukan..

Isnin, 8 Disember 2008

Kenapa Memilih Pengalaman Dan Pandangan

Salam blogging saudara saudari sekalian..
Lihat tajuk blog ni,nampak seakan akan serius dan profesional. Ayat-ayat untuk setiap entry juga bakal menggunakan ayat "skema" (aku anak cekgu base mlayu,Cekgu Che Robiah). Namun, aku ada alasan tersendiri untuk mengutarakan "pendapat" dan menceritakan "pengalaman" hidup ini. Alang-alang mencelup perkasam,biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang buat blog, biarlah memberi manfaat untuk semua.

Pengalaman hidup kita tidak sama. Pengalaman itu adalah peristiwa lepas yang telah berlalu, yang pastinya tidak akan mampu dibeli. Amat mahal harga pengalaman, sehinggakan mampu mendewasakan minda seseorang. Biarlah pengalaman aku diterjemah ke dalam blog ini daripada disimpan dan tidak digunakan. Aku tidak kaya dengan pengalaman, cuma berusia 2 dekad. Tetapi hidup di perantauan, sering bertukar rakan-rakan yang tidak mengira peringkat umur, taraf sosial, agama dan budaya, melepasai alam persekolahan, sedang mengharungi kehidupan universiti, sejarah-sejarah pahit manis kehidupan, dan umpamanya telah menghasilkan aku yang sekarang. Personaliti yang jelas terbentuk daripada pengalaman.

Aku juga memilih "pandangan" sebagai tulang belakang blog ini. Aku bukanlah berilmu, bukan juga sempurna, namun pandangan aku dalam menilai sesuatu perkara adalah berdasarkan ilmu yang aku punyai. Banyak perkara pastinya menuntut kita berfikir, namun pandangan yang diputuskan minda tidak pula dikongsikan bersama. Jadi, pandangan yang dangkal dari minda yang belum pun matang ini aku kongsikan bersama dengan harapan anda meninggalkan komen2 yang benar2 membina mindaku.

Sampai bjumpa lagi..nantikan keluaran pertama episod pengalamanku=)

Survey!